Advertisement
China Masters: Pearly Tan-M. Thinaah Ke Suku Akhir, Singkirkan Beregu Ke-300 Dunia
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Beregu wanita utama Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah meneruskan kemaraan ke suku akhir China Masters 2024.

Ini selepas mereka berjaya mengalahkan beregu wanita Jepun, Arisa Igarashi dan Ayako Sakuramoto dalam aksi pusingan kedua kejohanan di Shenzhen.

Pearly-Thinaah semakin bersemangat selepas meraih kemenangan ke atas wakil China, Ding Ke Yun dan Wang Yi Duo dalam aksi pusingan pertama.

Kelebihan ranking memihak kepada Pearly-Thinaah kerana mereka berstatus beregu keenam dunia. Meskipun begitu, Igarashi-Sakuramoto membuktikan mereka bukan calang-calang dengan menewaskan beregu ke-29 dunia dari Chinese Taipei, Hsu Yin Hui dan Lin Jhih Yun.

Set pertama menyaksikan Pearly-Thinaah meraih meraih kelebihan selesa pada kedudukan 11-5. Igarashi-Sakuramoto cuba memberi tentangan dan berjaya merapatkan jurang mata kepada 19-16.

Walau bagaimanapun, itu tidak cukup untuk menghalang Pearly-Thinaah meraih kemenangan set pertama dengan keputusan 21-18.

Set kedua menyaksikan Igarashi-Sakuramoto berusaha memberi tentangan sengit kepada beregu wanita negara itu. Pada satu ketika, kedua-dua regu terikat pada kedudukan 16-16.

Kesilapan mudah yang dilakukan beregu negara memastikan Igarashi-Sakuramoto meraih kemenangan set kedua dengan keputusan 21-18. Ini memaksa perlawanan diheret ke set penentuan.

Set ketiga menyaksikan Pearly-Thinaah mempamerkan corak permainan agresif. Corak permainan itu membolehkan mereka mendahului pada kedudukan 11-8.

Kelebihan itu terus dipertahankan juara Hong Kong Open 2024 itu sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 21-12.

Kemenangan ini menyaksikan Pearly-Thinaah menjadi wakil terbaru negara layak ke peringkat suku akhir China Masters 2024.

Sebelum ini, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sin dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mengesahkan kemaraan ke peringkat seterusnya.

Pearly-Thinaah bakal berdepan pilihan kedua kejohanan, Liu Sheng Shu dan Tan Ning. Sheng Shu-Tan Ning mara ke suku akhir selepas menewaskan beregu wanita India, Tressa Jolly dan Pullela Gayatri Gopichand.