Choi Moon-sik Dilantik Sebagai Ketua Jurulatih Baru Kelantan

Kelantan FC
Azim Noor
@mohdazim45
10:07pm 12/01/2023

Selepas berteka-teki tentang identiti jurulatih baru mereka, akhirnya Kelantan mendedahkan identitinya hari ini. Choi Moon-sik sah dilantik sebagai jurulatih baru skuad Kijang.

Berita perlantikan jurulatih berdarah Korea Selatan itu dikongsikan Kelantan menerusi laman media sosial mereka.

Semasa aktif sebagai pemain, Moon-sik pernah mewakili Pohang Atoms/Pohang Steelers, Oita Trinita dan Jeju United. Dia juga pernah beraksi untuk Korea Selatan dalam temasya Sukan Olimpik 1992 dan Piala Dunia 1994.

Selepas menggantung but pada 2002, dia kemudiannya menjadi ketua jurulatih skuad bawah 16 tahun Korea Selatan dan pemangku pengurus skuad bawah 20 tahun/bawah 23 tahun Korea Selatan.

Begitupun, Moon-sik pasti mengharap tempohnya bersama Kelantan FC lebih lama daripada majikan lamanya Daejeon Hana Citizen FC. Ini kerana dia digugurkan sebagai jurulatih selepas pasukan tersebut mengalami kemerosotan prestasi pada 2016.

Moon-sik dijangka akan dibantu oleh penolong jurulatih Rezal Zambry Yahya dan jurulatih kecergasan Hyo Jun-park bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini.