Kelibat anak Malaysia akan dapat disaksikan di Piala Dunia Qatar 2022 yang membuka tirai pada 20 November nanti, setelah Christopher Raj dan bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh terpilih mewakili negara untuk bertugas di kejohanan bolasepak terbesar dunia itu.
Ini akan menjadi tugasan kedua buat mereka di saingan Piala Dunia selepas turut terlibat pada Piala Dunia Rusia 2018 yang lalu.
Piala Dunia Qatar akan berlangsung membabitkan lapan venue antaranya Stadium Lusail, Stadium Al Janoub, Stadium Al Thumama, Stadium Al Bayt, Stadium 974 dan Stadium Ahmad Bin Ali.
Tugasan sulung Christopher selaku pegawai media akan bermula dengan aksi membabitkan perlawanan pembukaan kumpulan G di antara Switzerland dan Cameroon di Stadium Al Janoub.
Christopher yang juga Pengerusi Jawatankuasa Media, Komunikasi dan Perhubungan Awam FAM turut akan bertugas bagi sembilan lagi perlawanan di negara timur tengah itu.
Sebelum ini, beliau pernah terpilih untuk bertugas selaku pegawai media untuk Piala Dunia Russia 2018 selain Piala Dunia B-17 India (2017) dan Piala Asia di Australia 2015, Piala Asia di UAE 2019, Piala Emas CONCACAF 2019 selain Liga Juara-Juara Asia 2021 dan 2022.
Sementara itu, Subkhiddin pula akan bertugas buat kali keempat di pentas Piala Dunia selepas ditugaskan buat kali pertama selaku pegawai keempat di Afrika Selatan pada 2010.
Beliau kemudiannya terlibat dengan Piala Dunia Brazil 2014, dan Russia 2018 selaku Instruktur Teknikal Pengadil.
Subkhiddin yang juga merupakan Tenaga Pengajar Teknikal FIFA dan Persatuan Bola Sepak Korea, akan bertanggungjawab di dalam merancang persiapan pengadil dari aspek teknikal, menganalisis prestasi pengadil, memberi penjelasan teknikal kepada pemain dan pegawai pasukan bertanding serta memberi maklum balas mengenai prestasi pengadil sepanjang kejohanan.
Kedua-dua mereka dijadual berlepas ke Qatar pada 10 November dan akan pulang ke tanah air selepas tamat Piala Dunia.