Cita-Cita Dorong Peter Cklamovski Berhijrah Ke England
MakanBola
Salford City FC

Bekas jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menyifatkan keputusan menyertai Salford City FC didorong oleh cita-cita peribadi beliau.

Perkara ini dinyatakan beliau dalam satu temu bual bersama Nadi Arena baru-baru ini. Cklamovski melihat keputusan ini dibuat demi mengejar impian peribadi iaitu bergelar jurulatih di benua Eropah.

Justeru, apabila beliau menerima tawaran menyertai kelab yang dimiliki dua legenda Manchester United, Sir David Beckham dan Gary Neville itu, ia dilihat satu mimpi menjadi kenyataan.

“Ini keputusan yang dibuat secara peribadi, saya mengejar impian karier saya (iaitu bergelar jurulatih kelab Eropah),” katanya.

Cklamovski dilihat mengikut jejak mentor dan rakan senegara, Ange Postecoglou. Selepas menyerlah bersama Yokohama F. Marinos, beliau kemudiannya berpeluang melatih Celtic, Tottenham Hotspur dan Nottingham Forest.

Meskipun tidak lagi bersama Harimau Malaya, rasa cinta Cklamovski terhadap Malaysia tetap menebal. Malah, beliau turut mendoakan kejayaan buat skuad negara.

“Saya mendoakan yang terbaik untuk bola sepak Malaysia. Saya akan terus menyokong pasukan kebangsaan dari jauh.

“Saya tahu bahawa pemain dan kakitangan akan menggunakan tempoh 18 bulan saya sebagai asas untuk terus membina (pasukan) dan berkembang serta terus memberi inspirasi kepada negara.

“Saya sayang Malaysia dan saya doakan yang terbaik demi masa depan mereka,” tambahnya.

Cklamovski dibawa masuk sebagai pengganti pengurus sebelumnya, Karl Robinson. Robinson dipecat selepas gagal membawa kelab Liga Dua (divisyen empat England) meraih kenaikan pangkat ke Liga Satu (divisyen tiga England) musim lalu.