Peter Cklamovski Sertai Kelab Milik Beckham, Salford City
MakanBola
Salford City FC

Bekas jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski sah mengemudi kelab divisyen empat England (Liga Dua), Salford City.

Pelantikan jurulatih berusia 47 tahun itu diumumkan pengurusan Salford menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi kelab berkenaan.

“Salford City FC hari ini mengumumkan Peter Cklamovski sebagai pengurus pasukan utama lelaki yang baharu di kelab.

“Jurulatih berusia 47 tahun itu tiba di Salford selepas berkhidmat sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia. Sebelum ini, beliau pernah melatih di Jepun dan Australia.

“Dengan reputasi mempunyai gaya serangan yang menarik perhatian penyokong dan mencipta rekod dalam J-League di samping rekod prestasi pembangunan belia, Peter membawa pendekatan baharu pada persimpangan yang mengujakan untuk kelab,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Sebaik pelantikan beliau disahkan, Cklamovski mengakui teruja dengan prospek membantu kelab itu mara lebih jauh seiring dengan cita-cita pemilik Salford.

“Saya di sini dengan peluang yang hebat untuk melakukan sesuatu yang istimewa dan ia merupakan cabaran yang hebat. Pemilik mempunyai cita-cita yang tinggi, kelab mempunyai aspirasi yang besar untuk mencapai sesuatu yang istimewa dan itu bergema dengan saya.

“Cara untuk melakukannya dan mencapai kejayaan adalah bersama-sama, dan bekerja keras setiap hari bersama-sama untuk mengembangkan kelab bola sepak, dan saya tidak sabar untuk memulakannya,” katanya.

Pengumuman ini menyusul selepas Cklamovski mengundur diri selaku ketua jurulatih Harimau Malaya pada Khamis.

Salford berharap dapat menebus kekecewaan gagal meraih kenaikan pangkat ke divisyen tiga England (Liga Satu) musim lalu. Ini selepas mereka tewas 3-0 kepada Notts County dalam aksi playoff.

Kegagalan itu juga mendorong pengurusan Salford memecat jurulatih sebelumnya, Karl Robinson.