Cole Palmer Ketuai Chelsea Jumpa JDT
MakanBola
Chelsea FC

Cole Palmer antara bintang terkemuka Chelsea yang berpotensi diturunkan untuk aksi persahabatan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kemungkinan itu timbul kerana nama bintang England itu antara 29 pemain yang dibawa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk program pramusim di Asia dan Australia.

Palmer tersenarai kerana tidak dipanggil menyertai kem England untuk kempen Piala Dunia 2026. Selain beliau, turut tersenarai ialah Wesley Fofana, Levi Colwill, Jorrel Hato, Jamie Gittens, Joao Pedro, Robert Sanchez dan Liam Delap.

Pemain-pemain yang menyertai kempen Piala Dunia tiada dalam senarai pemain yang dibawa The Blues. Antaranya kapten, Reece James, Enzo Fernandez, Pedro Neto dan Malo Gusto.

Chelsea bakal memulakan program pramusim di Australia dengan menentang Western Sydney Wanderers pada 28 Julai. Aksi itu disusuli dengan aksi menentang musuh setempat, Tottenham Hotspur pada 1 Ogos.

Dua kelab gergasi Serie A, Juventus dan AC Milan bakal menjadi lawan mereka seterusnya pada 5 dan 8 Ogos. Juventus akan menentang The Blues di Hong Kong dengan AC Milan pula menanti di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta, Indonesia.

JDT kemudiannya menguji anak buah Xabi Alonso pada 9 Ogos. Chelsea akan menutup program pramusim dengan menentang Real Sociedad pada 15 Ogos di Stamford Bridge.