Uruguay terpaksa bekerja keras mengalahkan Kanada untuk merangkul kedudukan ketiga Copa America 2024.
Selepas kedua-dua pasukan masing-masing dikecewakan Argentina dan Colombia di peringkat separuh akhir, ini peluang terbaik buat Kanada dan Uruguay menutup kempen dengan bergaya.
Penyerang Liverpool, Darwin Nunez terus diberi kepercayaan menerajui serangan La Celeste. Sementara Les Rouges pula mempertaruhkan Tani Oluwaseyi untuk mengetuai jentera serangan mereka.
Uruguay tidak menunggu lama untuk berada di hadapan menerusi pemain tengah Tottenham Hotspur, Rodrigo Bentancur pada minit kelapan.
Tersentak, Kanada yang dibimbing bekas jurulatih Leeds United, Jesse Marsch bangkit memburu gol penyamaan. Hasilnya, bintang baru Marseille, Ismael Kone meledakkan gol penyamaan pada minit ke-22.
La Celeste menyangka mendahului buat kali kedua menerusi pemain sayap Manchester United, Facundo Pellistri pada minit ke-26. Malangnya, gol Pellistri dibatalkan selepas beliau dikesan berada pada kedudukan ofsaid.
Les Rouges tidak bernasib baik apabila percubaan mereka pada minit ke-42 berjaya dikeluarkan Nahitan Nandez sebelum melepasi jaringan gol. Keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan terus ghairah memburu kelebihan gol tambahan tetapi tidak berhasil.
Keadaan ini mendorong pengendali Uruguay, Marcelo Bielsa membuat beberapa pertukaran pemain. Ini termasuk memasukkan penyerang veteran, Luis Suarez untuk memburu gol kemenangan.
Bintang Real Madrid, Federico Valverde hampir menambah gol kedua buat La Celeste pada minit ke-77. Malangnya, percubaannya terkena palang sebelum dikeluarkan penjaga gol Minnesota United, Dayne St. Clair.
Tatkala perlawanan berpotensi diheret ke penentuan sepakan penalti, penyerang Lille, Jonathan David menceriakan penyokong Kanada dengan meledakkan gol kedua pada minit ke-80.
Uruguay terus memperhebatkan serangan untuk mendapatkan gol penyamaan. Akhirnya, Suarez memastikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 menerusi gol pada minit ke-92.
Selepas perlawanan berakhir dengan keputusan 2-2, pemenang perlawanan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti. Les Rouges bernasib malang apabila penalti Ismael Kone mudah diselamatkan penjaga gol La Celeste, Sergio Rochet.
Sementara penalti Alphonso Davies pula terkena palang. Itu sudah cukup buat Uruguay meraikan pencapaian tempat ketiga dengan mengatasi Kanada 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.
Sofascore memilih Jose Maria Gimenez sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.9, 0.1 mata di hadapan Kone.