Bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo mahukan kelabnya, Al-Nassr segera menandatangani rakan sepasukannya di Portugal, Bruno Fernandes.
Pemain berusia 39 tahun itu difahamkan berminat untuk kembali bermain bersama Bruno Fernandes di peringkat kelab selepas kali terakhir beraksi ketika di Man United pada penghujung 2022.
Menurut laporan media Eropah, Daily Mirror, Ronaldo meminta agar kelabnya itu segera mendapatkan khidmat Bruno meskipun pemain tersebut kini sedang berunding bersama pihak pengurusan United.
“Ronaldo difahamkan telah menggesa kelabnya berpindah untuk Fernandes, yang mengadakan pertemuan dengan United minggu lalu untuk membincangkan masa depannya dan cita-cita kelab itu ke hadapan,” lapor Daily Mirror.
Dengan kontrak Bruno yang berbaki dua tahun lagi bersama United, Al-Nassr bersedia untuk berbelanja besar berpotensi sekitar £80-£90 juta bagi mendapatkan perancang tengah Portugal itu.
Al-Nassr akan menggunakan kesempatan di atas prestasi merosot United dalam saingan domestik bagi memujuk Bruno menyertai mereka yang turut dianggotai ramai bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Aymeric Laporte, Sadio Mane dan Alex Telles.
The Red Devils kini berada di tangga kelapan carta EPL menyaksikan hasrat untuk bersaing dalam Liga Juara-Juara Eropah telah terkubur dan peluang untuk beraksi di pentas Eropah kini hanya tinggal satu jalan sahaja.
Manakala Al-Nassr kini menduduki tempat kedua carta Saudi Pro League, mengumpul 77 mata hasil 25 kemenangan, dua keputusan seri dan empat kekalahan dengan berbaki tiga lagi perlawanan.