Peluang kelab gergasi England, Man United untuk beraksi di pentas Eropah seakan samar namun belum tertutup dengan adanya satu cara ini.
Man United kini berada di tangga kelapan carta Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan mengutip 57 mata hasil 17 kemenangan, enam keputusan seri dan 14 kekalahan dalam 37 aksi liga.
Terbaharu, skuad kendalian Erik ten Hag ini berjaya menumbangkan pasukan di tangga ketujuh, Newcastle United pada awal pagi Khamis dengan jaringan tipis 3-2 di Old Trafford.
Kemenangan ini menyaksikan Man United dan Newcastle United berkongsi 57 mata sambil dua kelab London, Tottenham Hotspurs dan Chelsea kini berada di kedudukan kelima dan keenam.
Dengan slot ke UEFA Champions League sudah pasti menjadi milik Manchester City, Arsenal, Liverpool dan Aston Villa, kini tempat ke Europa League dan Europa Conference League menjadi rebutan.
Meskipun slot untuk melayakkan diri ke kejohanan Eropah melalui kedudukan liga tampak seakan sudah tertutup, namun satu peluang The Red Devils adalah dengan menjulang kejuaraan FA Cup nanti.
Juara FA Cup juga bakal mendapat slot ke Europe League musim hadapan di samping pasukan di tempat kelima manakala pasukan di tempat keenam akan beraksi dalam saingan Europe Conference League.
Di pentas akhir FA Cup nanti, Manchester City bakal menjadi penghalang terakhir Man United untuk melayakkan diri ke saingan Eropah apabila dijadualkan bertemu pada 25 Mei hadapan di Stadium Wembley.
Sekiranya Man City memenangi kejuaraan ini, pasukan di tangga keenam akan beraksi di Europa League bersama pasukan kelima liga manakala slot ke Europa Conference League bakal menjadi milik kelab di tangga ketujuh.
Manakala jika Man United menjulang kejuaraan dan tanpa mengira kedudukan di carta liga, The Red Devils akan memperoleh slot sebagai juara FA Cup untuk beraksi di Europa League musim hadapan.