Cristiano Ronaldo: Ini Piala Dunia Terakhir Saya
MakanBola
Portugal

Cristiano Ronaldo mengesahkan bahawa Piala Dunia FIFA 2026 bakal menjadi penampilan terakhirnya dalam kejohanan terbesar bola sepak dunia, sekali gus menamatkan era gemilang bersama Portugal di pentas antarabangsa.

Bintang berusia 41 tahun itu membuat pengesahan tersebut ketika ditemui semasa sesi sidang media pada awal pagi Isnin, dengan kenyataan itu turut disahkan oleh wartawan terkenal antaranya Fabrizio Romano.

“Ya, ini adalah yang terakhir untuk saya. Jom kita nikmati,” kata Cristiano Ronaldo memetik laporan Fabrizio Romano.

Pengesahan itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depan legenda Portugal tersebut di pentas Piala Dunia, selepas sekian lama menjadi tonggak utama negara itu dalam pelbagai edisi kejohanan.

Cristiano Ronaldo sebelum ini melakar sejarah sebagai pemain pertama yang berjaya menjaringkan gol dalam 6 edisi Piala Dunia berturut-turut ketika menewaskan Uzbekistan 5-0 dengan dua jaringan dihasilan oleh bintang Al-Nassr ini.

Walaupun sudah berada di penghujung karier, beliau masih kekal sebagai figura penting dalam skuad Portugal yang terus memburu kejayaan di pentas antarabangsa.

Pengumuman itu menjadikan Piala Dunia 2026 sebagai penutup kepada salah satu karier paling cemerlang dalam sejarah bola sepak dunia, dengan Ronaldo meninggalkan legasi besar di peringkat tertinggi.

Setakat ini, Cristiano Ronaldo telah merekodkan 11 jaringan dalam enam edisi Piala Dunia, sekali gus meletakkannya di tangga ke-9 dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan tersebut.