Cristiano Ronaldo mula menceburi dunia pemilikan kelab bola sepak.
Ini selepas kelab divisyen dua Sepanyol, Almeria mengumumkan legenda Portugal itu kini memiliki pegangan saham sebanyak 25% dalam kelab itu.
Presiden kelab, Mohamed Al Khereiji menyambut baik suntikan pelaburan yang dibuat Ronaldo menerusi entiti pelaburannya, CR7 Sports Investments.
“Kami gembira bahawa Cristiano memilih kelab kami sebagai tempat untuk membuat pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan.
“Beliau dianggap legenda hebat yang beraksi dalam permainan ini, beliau cukup mengenali liga-liga Sepanyol dan beliau juga memahami potensi apa yang kita bina dari segi pasukan dan akademi.”
Ronaldo menyifatkan Almeria sebagai tempat terbaik buat dirinya memberi sumbangan lebih bermakna dalam dunia bola sepak.
“Ini cita-cita jangka panjang saya untuk menyumbang kepada bola sepak, melangkaui kawasan padang,” katanya.
“UD Almeria ialah sebuah kelab Sepanyol dengan asas yang kuat dan potensi jelas dari segi kemajuan. Saya tidak sabar bekerjasama dengan pasukan kepimpinan untuk menyokong fasa kemajuan kelab yang seterusnya.”
Ronaldo mengikut jejak ramai pemain dan legenda bola sepak yang menjadi pemilik kelab. Antaranya Luka Modric, Thibaut Cortois, Kylian Mbappe, David Beckham, Sadio Mane dan N’Golo Kante.
Nilai pelaburan yang dibuat Ronaldo untuk Almeria tidak didedahkan. Selain kelab LaLiga2 itu, beliau juga dilaporkan memiliki 15% saham kelabnya, Al-Nassr.