Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo menegur sikap beberapa wartawan yang dilihat tidak fokus ketika sidang media pra-perlawanan suku akhir kedua Liga Negara-Negara UEFA (UNL).
Portugal ketika ini ketinggalan 1-0 dari segi agregat selepas tewas kepada Denmark beberapa hari yang lalu.
Penyerang Manchester United, Rasmus Hojlund muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan buat pasukan Scandinavia itu.
Apabila hendak memberi maklum balas tentang suasana negatif dalam skuad A Selecao, Ronaldo mendapati ada beberapa wartawan dilihat lebih fokus kepada komputer berbanding dirinya.
Hal ini mendorong beliau memberi teguran kepada mereka sebelum meneruskan sidang media pra-perlawanan.
“Memang ada sedikit sentimen negatif dalam kalangan skuad kebangsaan (Portugal). Sesetengah soalan yang diajukan langsung tidak menunjukkan rasa hormat.
“Lihat kepada saya bila saya menjawab soalan anda, bukannya komputer. Anda ada masa untuk itu. Sekiranya perlu, saya akan ulanginya sebanyak 10 kali,” katanya seperti yang dipetik Fabrizio Romano.
Ronaldo berharap dapat membantu Portugal mengatasi defisit satu gol yang dimiliki Denmark dan mara ke peringkat separuh akhir UNL.