Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo mencipta sejarah tersendiri apabila turun menentang Republik Czech dalam aksi Kumpulan F EURO 2024 semalam.
Ini kerana ini merupakan penampilan keenam Ronaldo dalam kejohanan bola sepak berprestij itu. Pencapaian bersejarah ini meletakkanya di hadapan Luka Modric dan rakan senegara, Pepe.
Modric yang mengetuai cabaran Croatia untuk EURO 2024 berkongsi lima penampilan bersama Pepe. Bekas bek tengah Real Madrid itu turut mencipta rekod sebagai pemain tertua pernah beraksi dalam sejarah kejohanan.
Sejak melakukan penampilan pertama bersama A Selecao pada EURO 2024, nama Ronaldo baru mula dikenali selepas menyertai Manchester United pada musim 2003/04.
Sejak itu, Ronaldo tidak menoleh ke belakang dan melakar pencapaian demi pencapaian baik di peringkat kelab mahupun untuk pasukan kebangsaan Portugal.
Saingan EURO saja menyaksikan legenda The Red Devils itu menjadi penjaring terbanyak kejohanan sepanjang zaman dengan 14 gol.
Dan sekiranya Ronaldo membuka akaun jaringan dalam mana-mana perlawanan EURO 2024 selepas ini, beliau berpeluang menjadi penjaring gol tertua dalam sejarah kejohanan.
Rekod itu ketika ini masih lagi dipegang oleh legenda Austria, Ivica Vastic yang dilakar dalam kejohanan EURO 2008.
Dengan Portugal dicanang sebagai calon juara pilihan, Ronaldo juga berpeluang menjadi pemain kedua bergelar kapten yang merangkul kejuaraan EURO sebanyak dua kali.
Pencapaian ini pernah dilakukan oleh legenda Sepanyol, Iker Casillas menerusi kejayaan bergelar juara EURO 2008 dan 2012.