Jaguh Muay Thai Malaysia, Rifdean Masdor mengakui sudah memiliki strategi tersendiri menjelang aksi menentang jaguh Jepun, Nadaka Yoshinari dalam ONE Samurai 4 di Jepun pada Oktober depan.
Rifdean yang dikenali dengan gelaran Magic Boy melihat dirinya perlu berhati-hati dengan juara dunia ONE Championship untuk kategori Atomweight itu. Ini kerana jika beliau terikut-ikut rentak Nadaka, dirinya bakal berdepan masalah dalam gelanggang.
“Strategi saya tak banyak, saya akan bermain dengan dia. Kalau saya masuk (terikut-ikut rentak Nadaka), memang saya jadi kambing. Sebab dia terlalu laju, pemasaan dia terlalu baik.
“Mungkin pendapat orang Thai, kita kena kunci dia dan cari ruang. Jangan sebab dia terlalu liar, kita kalau nak kunci dia dengan ladang luas, macam mana nak tangkap kambing atau kuda itu sebab luas. Kita kena cari kawasan yang baik atau kita bawa dan pukul dia, biar dia marah.
“Nanti bila saya lawan dengan dia, saya takkan masuk (rentak Nadaka). Saya akan main cara selamat, dia sepak, saya sepak. Dia tumbuk, saya tumbuk,” katanya ketika menjadi tetamu program Sembang Oh Yeah.
Rifdean turut memaklumkan beliau sudah mengkaji taktik jaguh Jepun itu selama empat tahun. Hal ini memberi keyakinan kepada dirinya untuk mencabar Nadaka sekali gus merebut gelaran juara dunia kategori berkenaan.
Sekiranya Rifdean berjaya menewaskan jaguh Jepun itu, beliau menjadi juara dunia dari Malaysia yang kedua selepas Aliff Rakib.