Bekas pemain Kedah (kini Kedah Darul Aman FC), Azmeer Yusof berkongsi sisi luar biasa bekas jurulatih Harimau Malaya, Norizan Bakar.
Untuk makluman, Norizan atau mesra disapa Cikgu Jan pernah melatih banyak pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) seperti Kelantan, Perak, Perlis dan Pulau Pinang (kini Penang FC).
Selain pernah melatih Harimau Malaya dari 2005 hingga 2007, beliau juga pernah melatih skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) dari 2005 hingga 2006.
Azmeer teringat satu anekdot berkenaan Norizan semasa menyertai Perak pada tahun 2011. Pada ketika itu, pasukan berkenaan turut dibarisi Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Chan Wing Hoong, Shahrulnizam Mustapha, K. Nanthakumar dan Nasril Nourdin.
Pada satu ketika, seorang pemain datang lewat ke sesi latihan. Kebiasaannya, jika perkara itu berlaku, pemain berkenaan akan diarah pulang dan tidak dibenarkan mengikuti sesi latihan.
Dan bagi mana-mana bekas pemain yang pernah dilatih Norizan termasuk Azmeer, mereka mengenalinya sebagai seorang yang tegas dan garang. Pemain itu bimbang kerana kelewatannya itu, dia akan dihukum.
Sebaliknya, satu perkara yang ditanya beliau ialah sama ada pemain tersebut telah menunaikan solat Subuh atau tidak. Aspek ini yang membuatkan Azmeer terkejut tetapi memberi inspirasi kepada dirinya.
“Saya sendiri fikir yang pemain tersebut akan kena halau balik. Tak sangka soalan itu yang ditanya oleh Cikgu Jan. Alhamdulillahnya ialah pemain tersebut pun jujur dengan diri sendiri. Beliau mengaku tak sempat solat.
“Cikgu Jan suruh pergi surau dalam Stadium Ipoh itu kemudian solat. Selesai solat baru turun untuk latihan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sejak itu, Azmeer menekankan aspek solat terutama selepas bergelar jurulatih. Atas sebab itu, beliau berharap kisah ini menjadi inspirasi kepada pemain dan jurulatih agar berusaha menjaga kepentingan solat.
“Jadi, Cikgu Jan sudah ajar kita satu perkara. Bola sepak atau apa sahaja aktiviti dalam dunia ni, takkan dapat mendahului solat. Lewat macam mana pun, bangun lambat macam mana pun, solat didahulukan.
“Kerana apa? Kerana ibadat pertama yang akan disoal nanti ialah tentang solat,” tambahnya.
Selain Perak, Azmeer pernah beraksi untuk beberapa pasukan seperti Kedah, Kuala Lumpur (kini KL City FC), ATM (kini Armed Forces FC) dan Negeri Sembilan.