Advertisements
Daniel Ting Anggap Tiada Aksi Kompetitif Ganggu Rentak Sabah
AFC Cup
MakanBola
Sabah FC

Pemain pertahanan Sabah FC, Daniel Ting mengakui ketiadaan aksi kompetitif menggugat rentak Sabah untuk aksi separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC.

Selepas tamat kempen Liga Super musim 2023 pada 17 Disember lalu, skuad Badak tidak beraksi secara kompetitif selama lebih sebulan.

Situasi ini tidak dibantu dengan empat tonggak skuad Badak iaitu Daniel Ting, Stuart Wilkin, Dominic Tan dan Darren Lok dipanggil memperkuatkan skuad kebangsaan untuk Piala Asia 2023.

Keadaan ini menyukarkan pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee mengatur aksi persahabatan kompetitif sebagai persediaan untuk perlawanan hari ini.

Mengakui itu bukan situasi yang ideal, Daniel pada masa sama melihat ini bukan alasan buat pasukan dari Negeri Di Bawah Bayu itu untuk mempamerkan aksi yang lebih baik.

“Sudah tentu ini sesuatu yang sukar lebih-lebih lagi bila kita bermain di luar musim. Kita hanya melakukan yang terbaik untuk bersedia demi perlawanan ini.

“Amat sukar untuk mengadakan perlawanan persahabatan sebab tak banyak pasukan dalam negara beraksi ketika ini. Tapi itu bukan alasan, kita ada masa yang lama untuk bersedia demi perlawanan ini.

“Dan saya fikir, di sebalik kesilapan saya pada separuh masa kedua, kita sebenarnya telah memberi yang terbaik,” katanya dalam temubual selepas perlawanan yang disiarkan di Astro Arena.

Sabah terpaksa akur dengan kehebatan The Bulls yang meraih kemenangan 3-0 di gelanggang sendiri. Ulises Davila dan dua gol Jed Drew memastikan Macarthur layak ke final Zon ASEAN.

Pasukan itu kini bakal berdepan satu lagi wakil Australia, Central Coast Mariners di pentas final Zon ASEAN Piala AFC pada 22 Februari ini.

Ini selepas CCM berpesta gol 4-0 ke atas Phnom Penh Crown dalam satu lagi aksi separuh akhir.