Legenda Liverpool yang kini bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) bercakap tentang kenangannya di Istanbul dan pengalamannya di Malaysia bersama JDT ketika ditemuramah oleh akhbar UK, The Guardian.
Luis Garcia menganggap dirinya sudah ‘tenang’ selepas bersara, sekurang-kurangnya itu yang dia rancang. Namun realitinya tidak semudah itu. Bekas pemain Atlético Madrid, FC Barcelona dan Liverpool FC itu sebenarnya melalui proses bersara yang penuh cabaran.
Pada 2014, dia meninggalkan bola sepak, tetapi hanya enam bulan kemudian kembali semula, seolah-olah belum benar-benar bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal. Apabila dia akhirnya bersara sepenuhnya pada 2016, kali ini dia bertekad: tiada lagi emosi melampau, tiada lagi tekanan, tiada lagi turun naik yang selama ini menjadi sebahagian hidupnya sebagai pemain profesional. Bagi Garcia, bab bola sepak sebagai pemain sudah selesai, segala kepahitan, kepuasan, tekanan dan emosi yang pernah membentuk dirinya, dianggap telah ditinggalkan di belakang.
“Saya memang sangat kompetitif dan apabila saya tinggalkan bola sepak, saya fikir saya tak akan rasa perasaan seperti dulu lagi,” katanya. “Saya masih menikmati bola sepak, masih bermain tujuh sebelah dengan kawan-kawan, setiap Sabtu jam 10 pagi, di Los Jareños Club de Futbol, tetapi saya fikir semua itu sudah hilang dan tak akan kembali. Malah, saya cuba mengelakkannya; saya tak mahu perasaan itu. Jadi bila ia berlaku, saya terkejut. Saya tak sangka bola sepak akan beri saya perasaan itu lagi. Tapi di situ saya, menangis.”
Ia berlaku pada pertengahan Februari di Iskandar Puteri apabila Luis Garcia menyaksikan sendiri pemain Johor Darul Ta’zim meraikan kemenangan bersejarah. Setelah melalui perjalanan panjang bersama pasukan, dari Malaysia ke Vietnam dan Jepun, dia mengakui emosi itu kembali apabila melihat kegembiraan mereka.
Buat pertama kali, JDT mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia selepas menewaskan Sanfrecce Hiroshima 3-2 secara agregat, dan bakal beraksi di Jeddah menentang Al-Ahli. Garcia, kini CEO kelab, akan bersama JDT.
Peranannya kini jauh berbeza, dengan tanggungjawab lebih besar. Dari bangku penonton di Stadium Metropolitano Atlético, dia masih mengikuti rapat bekas kelabnya seperti FC Barcelona dan Liverpool FC, walaupun membahagikan masa antara Madrid dan Malaysia.
Kenangan 2005 UEFA Champions League Final di Istanbul juga kekal segar. Mengenai gol kontroversinya menentang Chelsea FC, reaksinya ringkas: “Ya, bola itu masuk.” Dia turut mengimbas detik lucu apabila Rafael Benítez tersilap menyenaraikan 12 pemain semasa taklimat separuh masa final.
“Ada orang cerita yang itu ya? Memang betul, tapi banyak perkara berlaku ketika itu,” katanya. “Yang paling saya ingat adalah bagaimana Rafa mengawal keadaan. Kami ketinggalan 3-0 dan kecewa, tetapi dia kekal tenang, menyusun semula pasukan, memasukkan Didi Hamann untuk keseimbangan dan menolak Stevie lebih ke depan.
“Dari situ datang gol pertama dan kami mula percaya. Gol kedua cepat menyusul dan selepas gol ketiga kami mula bernafas lega. Jerzy Dudek pula bermain luar biasa malam itu. Saya sepatutnya mengambil sepakan penalti keenam. Stevie yang kelima. Saya minta, berkeras mahu ambil, tetapi Rafa tidak benarkan.”
“Apabila saya bersara, saya tenang, menikmati rehat, tetapi saya juga telah lama bersedia untuk peluang lain dalam bola sepak. Saya mengambil ijazah sarjana dengan UEFA, kursus pengarah sukan, lesen kejurulatihan. Apa sahaja kelayakan yang ada, saya ambil. Tetapi saya tidak mahu menjadi jurulatih. Saya lebih suka aspek perniagaan berbanding di padang kerana saya banyak menderita di atas padang.”
García memandang ke arah padang. “Kalau sekarang ada orang kata saya boleh bermain, saya akan terus turun,” katanya. “Tetapi menjadi jurulatih, berada di tepi padang tanpa dapat mempengaruhi permainan secara langsung, tidak menarik minat saya. Jurulatih selalu kata: ‘Kau tak dapat bayangkan perasaan bila berjaya.’ Ya, tapi saya tak mahu perasaan itu. Atau lebih tepat, saya tak rasa panggilan itu.”
“Saya memang sentiasa ingin tahu tentang pelbagai perkara. Saya main piano, gitar. Saya mula belajar gitar pada umur 15 dan memang minat: akustik, kemudian elektrik dalam sebuah band.”
Tentang perpindahannya ke Johor Darul Ta’zim, Garcia berkata: “Saya selesa bekerja dengan ESPN, tetapi tahun lepas saya menerima panggilan untuk bertemu DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor selaku pemilik kelab.”
“Saya memang suka cabaran baru, cuba sesuatu yang berbeza,” katanya. “Saya bertemu DYAM Tunku Ismail dan mendengar visinya. Ia luar biasa. Dia sangat aktif dan faham bola sepak. Saya pernah lihat Baginda bermain dengan Robert Pires dan Ludovic Giuly, dan Baginda menjaringkan gol hebat. Tunku Ismail benar-benar tahu apa yang diinginkan.
“Kelab ini berkembang pesat sejak 2013. Dia membawa Johor kepada 12 kejuaraan liga. Opta meletakkan kami sebagai No 1 di Asia Tenggara.
“Kenapa saya? Saya pun tak pasti. Dia mahukan seseorang dengan latar belakang bola sepak dan perspektif berbeza. Ada banyak kerja yang perlu dilakukan. Saya ke Malaysia setiap bulan selama 10 hari atau dua minggu, memahami struktur dan memberi input. Bagaimana kita capai visi itu?
“Kami mendapat sekitar 13,000 penonton untuk liga, dan sekitar 30,000 untuk Liga Juara-Juara Asia—antara yang terbesar di Asia. Kami mahu terus berkembang, membina hubungan dengan komuniti melalui lawatan sekolah, hospital. Penaja seperti Nike dan Toyota turut terlibat.”
Apakah pelajaran paling penting dari Eropah? “Salah satu perkara yang kami ikuti dari England ialah intensiti kerja. Kami ada 37 pemain kerana bermain sehingga 70 perlawanan setahun. Kami perlukan hampir tiga pasukan. Kami sangat sistematik, jurulatih, analisis, kecergasan, semuanya lengkap.”
Pasukan ini menggunakan formasi 3-5-2 dan dikendalikan oleh Xisco Munoz. Skuadnya antarabangsa, termasuk pemain tempatan seperti Arif Aiman “permata Malaysia,” kata Garcia. “Pantas, kuat, menjaringkan gol, dia boleh bermain di Eropah.”
“Bola sepak Malaysia sedang berkembang,” kata García. “Masih jauh dari Eropah, tetapi semakin baik. Kami telah memenangi liga selama sedekad. Cabaran besar tahun ini ialah Liga Juara-Juara Asia (ACLE) dan kami berjaya melangkah jauh.
“Perjalanan itu sangat mencabar, Vietnam, Jepun, Malaysia, kini Arab Saudi. Apabila saya melihat apa maknanya kepada pemain, kepada semua orang, saya tidak dapat menahan air mata.”