Penyerang pasukan Sabah FC, Darren Lok menerima penghargaan tertinggi apabila berdiri sama tinggi bersama penyerang kelahiran Australia, Dimitri Petratos.
Pemain berusia 32 tahun itu beraksi cemerlang ketika membantu The Rhinos untuk menundukkan kelab Singapura, Hougang United.
Beliau meledak dua gol penting yang membantu Sabah FC meraih 3 mata pertama dalam kempen Piala AFC 2023.
Menurut penilaian SofaScore, penyerang kebangsaan ini dinilai paling tinggi antara semua pemain iaitu 9.2 dan menjadi pemain terbaik perlawanan.
Aksi ini sekaligus menempatkan beliau dalam kalangan kesebelasan terbaik mingguan Piala AFC.
Darren Lok berada sebaris dengan penyerang berbisa kelahiran Australia, Dimitri Petratos yang juga meledak dua gol dalam aksi pertamanya di Asia.
Bekas penyerang Kelantan itu kini beraksi buat kelab India, Mohun Bagan yang telah membenam cabaran kelab senegara, Odisha SC dengan keputusan 4-0.
Darren memastikan kemenangan milik skuad Badak dengan gol ketiga pada minit ke-62. Biarpun mengakui sukar bermain dalam cuaca hujan ditambah dengan tentangan Hougang, itu bukan halangan untuk Sabah FC meraih kemenangan.
“Saya fikir sebagai satu pasukan, kita berjaya menyempurnakan tugas dalam keadaan yang sukar. Amat bagus meraih tiga mata untuk perlawanan pertama (Piala) AFC.”
“Kita akan mengharungi perlawanan kedua (kumpulan) dengan lebih yakin,” katanya dalam temubual selepas perlawanan hari ini.
Dua gol yang dijaringkan beliau malam ini merupakan gol kesembilannya dalam semua kejohanan untuk musim 2023.