Rangkuman pangkalan data membuktikan bahawa impak dua bintang Malaysia, Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim sama hebat.
Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif kini sudah berehat kira-kira empat bulan ekoran kecederaan ketika bersama pasukan kebangsaan.
Sementara itu, Faisal yang merupakan kapten Selangor FC kini kembali ke puncak prestasi bagi musim 2025-26, setelah turut mengharungi turun naik pada fasa karier bola sepaknya.
Catatan data oleh laman Sofascore menunjukkan bahawa kedua-dua pemain ini memiliki kekuatan sama di atas padang – sekali gus menjadi tunjang utama buat pasukan masing-masing.
Arif, tonggak berusia 24 tahun itu berada pada senarai teratas bagi pemain yang menerima penilaian tertinggi di Liga Super Malaysia musim ini iaitu dengan 9.25 mata diikuti dua rakan sepasukan, Oscar Arribas (8.15) dan Bergson (8.06).
Faisal yang merupakan pemain sayap Harimau Malaya menduduki tangga keempat dengan 7.88 mata dengan seorang lagi pemain sayap tempatan, Ramadhan Saifullah (ke-10) dalam senarai 10 pemain paling cemerlang musim ini.

Ketajaman penyudah kedua-dua pemain ini dilihat seimbang dengan Arif lebih menyerlah dalam saingan liga menerusi tujuh jaringan yang dicatat sementara Faisal cemerlang mencecah 20 gol dalam semua kejohanan musim ini.
Arif dilihat memainkan peranan besar dalam mencipta peluang dan bantuan jaringan JDT musim ini. Beliau sudah pun merekodkan 10 bantuan jaringan (tertinggi liga) manakala Faisal dengan tiga bantuan gol.
Dua pemain versatil ini menjadi antara individu yang melakukan percubaan terbanyak atas padang, dengan Arif unggul di tangga kedua di belakang Bergson, (4.3) kali bagi setiap perlawanan manakala Faisal melakukan purata 2.4 kali percubaan.
Kekuatan kapten Selangor FC ini menonjol selepas menjadi antara sumber kreativiti pasukan musim ini selepas mencatat 2.4 purata hantaran penting dengan Arif unggul selaku pemain paling kreatif dengan 4.6 purata hantaran.
Elemen yang menjadi masalah besar kepada barisan pertahanan lawan adalah kemampuan gelecekan sempuran oleh kedua-dua pemain ini.
Arif yang juga pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) musim lalu cemerlang di tangga teratas dengan 8.4 kali gelecekan (81% berjaya) setiap aksi sementara Faisal di tangga ketiga dengan 4.9 kali (80% berjaya).

Persembahan cemerlang kedua-dua pemain ini menjadi aset utama pasukan yang beraksi pada peringkat Asia selain menjadi tonik penting buat skuad kebangsaan Harimau Malaya bagi perlawanan mendatang.