Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan menyifatkan persaingan merebut tiket separuh akhir Piala FA 2024 antara Penang FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) masih lagi terbuka.
Pengamatan itu dibuat beliau selepas melihat Kedah meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Harimau Kumbang dalam aksi suku akhir pertama pada 28 Jun lalu.
Datuk Zainal Abidin menyifatkan pengalaman yang dimiliki barisan pemain Sang Kenari membantu pasukan itu meraih kemenangan berharga.
Ini kerana pasukan itu dibarisi ramai pemain berpengalaman seperti Syafiq Ahmad, Rizal Ghazali, Habib Haroon, Sony Norde dan Ebenezer Assifuah.
“Kita tahu Kedah lebih berpengalaman, pemain-pemain mereka lebih serasi dengan bola di bahagian tengah. Amirul (Hisyam Awang Kechik) bermain dengan baik, Sony Norde (berada) di situ,” katanya semasa menjadi panel program Astro Arena, Nindia pada 1 Julai lalu.
Pada masa sama, Datuk Zainal Abidin melihat serangan-serangan yang diatur Penang FC cukup merbahaya menerusi bekas penyerang PDRM FC, Nabil Ahmad Latpi.
Malangnya, setiap serangan yang diatur gagal disempurnakan dengan baik. Seandainya isu ini dapat diselesaikan, beliau percaya aksi suku akhir kedua menjanjikan saingan lebih sengit antara kedua-dua pasukan.
“Tetapi kita kena ingat Penang kerap melakukan serangan-serangan merbahaya. Bagi saya, Penang masih lagi memiliki satu masalah yang mereka tak dapat atasi iaitu penjaring gol.
“Ramai orang mengkritik Nabil (Ahmad Latpi) tetapi Nabil sudah menjalankan tugasnya sebagai penyerang. Larian dan (keupayaan) dia mencipta ruang (cukup baik) tetapi masih belum ada sentuhan terakhir (penyudah).
“Inilah sesuatu yang buat Coach Akmal pening kepala. Jadi sekarang, beliau (kena) ubah Nabil menjadi senjata yang tajam,” tambahnya lagi.
Kedah dan Penang bakal berentap sekali lagi di Stadium Darul Aman pada 5 Julai ini untuk aksi suku akhir kedua. Sang Kenari memiliki kelebihan agregat tipis 1-0.