Pemilik Kedah Darul Aman, Tan Sri Dr Mohd. Daud Bakar memberi penjelasan berhubung berita mengenai pasukan Sang Kenari tidak akan beraksi di Liga Malaysia.
Menerusi suatu kenyataan media pada Khamis, Daud Bakar ambil maklum mengenai berita pembubaran pasukan Kedah pada musim akan datang yang ketika ini sedang tular dalam kalangan peminat.
“Seperti yang anda sedia maklum, isu mengenai KDA FC tidak akan berada dalam Liga Malaysia musim hadapan sudah menjadi tular dalam media sosial hari ini. Ianya bukanlah keputusan pihak KDA FC secara faktanya.”
Sungguhpun begitu, beliau menjelaskan bahawa usaha sedang giat berjalan antara pihak pengurusan kelab dan pengendali liga untuk mematuhi segala piawaian yang diminta.
“Saya dan pihak pengurusan sentiasa berkomunikasi dengan pihak pengendali liga untuk mematuhi dan mencukupkan segala keperluan Perlesenan Kelab dalam tempoh yang ditetapkan oleh pihak Club Licensing Body MF.”
Tambah beliau, idea bagi membubarkan pasukan tiada dalam perancangan pihak pengurusan malah berikrar untuk terus berusaha kekal di dalam saingan Liga Malaysia pada musim mendatang.
“Kita tidak pernah ada niat untuk membubarkan pasukan dan kita juga tidak pernah menghantar apa-apa surat berkaitan memberi gambaran bahawa kita ingin meninggalkan Liga Malaysia.”
“Kami akan terus berjuang dan berusaha untuk terus kekal di Liga Super musim hadapan. Tidak ada yang sia-sia apabila kita berusaha dan berjuang. Yang sia-sia adalah tidak berusaha dan tidak buat apa-apa.”
“Semoga kenyataan ini memberi sedikit pencerahan dan keyakinan untuk semua.Kita akan teruskan usaha tetapi hasil akhirnya adalah dalam ketentuan Allah SWT,” kata Daud Bakar.
Kedah kini menduduki tangga ke-11 Liga Super dan terpalit dengan isu luar padang melibatkan kelewatan gaji sehingga menjejaskan perjalanan pasukan musim ini.