Bekas penjaga gol Manchester United, David de Gea bakal menamatkan penantian kelab barunya dengan berhijrah ke Fiorentina.
Selepas meninggalkan United sebagai ejen bebas pada akhir musim 2022/2023, penjaga gol Sepanyol itu dihujani dengan pelbagai tawaran dari luar negara seperti Arab Saudi dan Amerika Syarikat.
Walau bagaimanapun, semua tawaran berkenaan ditolak oleh de Gea. Sepanjang tempohnya bergelar ejen bebas, penjaga gol berusia 33 tahun itu mengekalkan kecergasannya dengan berlatih bersama kelab bukan liga, Altrincham mengikut laporan The Mirror.
Sebelum menerima tawaran La Vecchia Signora, de Gea turut mengadakan rundingan dengan satu lagi kelab Serie A, Genoa. Malangnya, usaha Rossoblu mendapatkan bekas penjaga gol Atletico Madrid itu tidak membuahkan hasil.
Ini membuka ruang buat Fiorentina mengadakan rundingan dengan de Gea. Menurut wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano, bekas penjaga gol United itu bersetuju memeterai kontrak setahun dengan La Vecchia Signora.
Fiorentina turut memiliki pilihan untuk mengaktifkan klausa lanjutan kontrak selama setahun lagi sekiranya mahu de Gea kekal di Stadium Artemio Franchi.
Penjaga gol Sepanyol itu dilaporkan bakal menjalani ujian perubatan bersama La Vecchia Signora sebelum memeterai kontrak. De Gea dijangka bersaing dengan Oliver Christensen dan Pietro Terraciano untuk slot penjaga gol utama pasukan.
Beliau bakal menjadi pemain terbaru Fiorentina selepas Marin Pngracic, Moise Kean dan Andrea Colpani untuk musim 2024/25. Sepanjang bersama United, de Gea telah merekodkan 542 penampilan dan tidak dibolosi sebanyak 190 kali.