Tonggak Belgium, Kevin De Bruyne percaya bahawa kesabaran menjadi kunci untuk menumbangkan skuad kebangsaan Israel pada Sabtu.
Perkara itu disuarakan De Bruyne selepas perlawanan yang mana menyaksikan Belgium berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 3-1.
De Bruyne akui agak sukar untuk menembusi benteng Israel pada separuh masa pertama sebelum mereka lebih sabar pada babak kedua permainan.
“Separuh masa pertama adalah sukar buat kami dan menghadapi masa yang sulit untuk menangani sistem pertahanan mereka (Israel). Mereka bermain 5-4-1 untuk berdepan dengan kami. Kami tidak menemui kombinasi yang tepat.
“Pada separuh masa kedua kami lebih bersabar dan kami telah meletakkan pemain yang sesuai di tempat yang betul. Itu mencipta lebih banyak peluang buat kami,” ujar De Bruyne seperti dilaporkan Reuters.
Kemenangan Belgium ke atas Israel itu sangat berharga memandangkan itu merupakan perlawanan pertama buat Belgium dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah.
Bagi aksi seterusnya, Belgium bakal bertemu Perancis di laman lawan pada 10 September depan sebelum bertemu sebuah lagi pasukan hebat iaitu Itali pada bulan hadapan.