Pemain pertahanan KL City FC, Declan Lambert percaya persaingan merebut slot skuad Harimau Malaya bakal menjadi lebih sengit.
Pemain berusia 26 tahun itu berpandangan sedemikian apabila diminta mengulas berita tujuh bintang warisan bakal memperkuat skuad negara.
Baru-baru ini, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor memaklumkan ada tujuh bintang warisan yang telah dikenal pasti bakal menambah kekuatan Harimau Malaya.
“Kami telah mengenalpasti 6-7 pemain warisan untuk pasukan Harimau Malaya. Diharapkan kerajaan Malaysia dapat membantu dalam proses mendapatkan pasport Malaysia.
“Ini agar mereka dapat bermain untuk Harimau Malaya pada kelayakan Piala Asia 2027 mulai bulan Mac ini. Mustahak Harimau Malaya memulakan kempen kelayakan dengan keputusan yang positif,” katanya.
Declan percaya kehadiran bintang-bintang baru ini bakal menghangatkan lagi persaingan merebut tempat dalam pasukan yang dibimbing Peter Cklamovski itu.
“Ianya bakal menjadi sukar terutama dalam kalangan pemain yang berada dalam skuad kebangsaan ketika ini,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
“Ini bermakna lebih banyak persaingan. Harapnya, ia akan memberi manfaat kepada bola sepak Malaysia.”
Bekas pemain pertahanan Den Bosch itu juga melihat kehadiran bintang warisan baru sebagai satu perkara yang baik buat Harimau Malaya.
Ini kerana selagi mana seseorang pemain itu berstatus rakyat Malaysia dan sedia berjuang demi skuad kebangsaan, maka itu sesuatu yang baik buat pasukan itu.
“Bagi saya, selagi mana pemain itu berstatus rakyat Malaysia dan mampu membantu (Harimau Malaya) dalam banyak cara, maka itu satu perkara yang baik,” tambahnya.
Malaysia kini bersiap sedia untuk kempen pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 yang bermula pada Mac ini.
Skuad negara bakal turun menentang Nepal untuk aksi pertama Kumpulan F pada 25 Mac.