Detik Arif Aiman Robek Gawang Berkelas Dunia Chelsea
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi menjadi watak utama apabila berjaya memecah kebuntuan dalam aksi JDT menentang gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea, dengan meledakkan gol pembukaan pada minit ke-14.

Perlawanan Persahabatan Antarabangsa kelab itu meyaksikan jaringan tersebut hadir menerusi satu gerakan serangan balas pantas yang dilakukan JDT selepas berjaya merampas penguasaan bola di kawasan permainan sendiri. 

Kepantasan barisan serangan JDT jelas menghukum pertahanan Chelsea yang ketika itu belum sempat membentuk organisasi bertahan dengan sempurna.

JDT menurunkan kesebelasan terbaik dengan pemain seperti Syihan Hazmi, Eddy Israfilov, Oscar Arribas, Nacho Mendez dan jentera serangan diketuai oleh Arif Aiman, Shahab Zahedi dan juga Marcos Guilherme.

Sementara itu, Chelsea hanya menurunkan barisan kedua namun masih meletakkan nama nama besar seperti Nicolas Jackson, Liam Delap dan juga Estevao mengetuai jentera penyudah.

Arif, 24, yang menerima hantaran tepat daripada rakan sepasukannya, Marcos Guilherme tidak mensia-siakan peluang terhidang. Pemain sayap itu melakukan penyudah kemas untuk menewaskan penjaga gol Chelsea, Sharman-Love sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh daripada penyokong JDT.

Gol pada minit ke-14 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri itu sekali gus memberikan kelebihan awal buat JDT dalam perlawanan berintensiti tinggi tersebut. Arif Aiman membuktikan ketajamannya di hadapan gawang apabila tenang menyudahkan peluang meskipun berdepan tekanan daripada pertahanan lawan.

Chelsea yang dikejutkan dengan jaringan awal itu cuba meningkatkan tekanan bagi mendapatkan gol penyamaan. Namun begitu, JDT terus tampil berani dengan memanfaatkan ruang di bahagian serangan menerusi gerakan pantas dan hantaran-hantaran yang mengancam.

Kehadiran Arif Aiman menjadi antara ancaman terbesar buat pertahanan Chelsea apabila kelincahan serta kepantasannya sukar dikawal.

Gol Arif Aiman itu pastinya menjadi detik penting buat JDT dalam usaha memberikan saingan sengit kepada Chelsea. Dengan kelebihan awal yang diraih, Harimau Selatan kini mempunyai keyakinan untuk terus menguji pertahanan lawan dan memburu jaringan seterusnya di hadapan kira-kira 28,000 penyokong pasukan.