Detik Penentu Harimau Malaya
MakanBola
Malaysia NT

Detik penting buat pasukan kebangsaan Harimau Malaya memasuki tahun 2026.

Skuad kendalian Peter Cklamovski mengharungi tahun pertamanya bersama Malaysia dengan cukup cemerlang selepas membantu pasukan menduduki tangga teratas Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027.

Pasukan kebangsaan kini mengumpul 15 mata selepas lima perlawanan dan terpisah tiga mata dengan pasukan tangga kedua kumpulan, Vietnam (12 mata).

Pasukan kebangsaan bagaimanapun kini menanti keputusan daripada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung status tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Court of Arbitration for Sport – CAS telah membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution) yang dikemukakan oleh tujuh pemain pasukan kebangsaan iaitu Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel.

Namun begitu, keputusan pada 26 Februari 2026 ini bakal menentukan nasib sebenar para pemain ini dengan CAS bakal bersidang berhubung permohonan yang dikemukan oleh FAM dan pemain-pemain ini.

“Prosiding tersebut telah digabungkan dan akan didengar secara bersama. Para pemain yang terlibat dalam rayuan tersebut telah dikenakan sekatan oleh FIFA pada 25 September 2025 berupa penggantungan selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak. 

“Pada 26 Januari 2026, CAS telah mengeluarkan langkah-langkah sementara bagi menggantung (menangguhkan, dari sudut perundangan) pelaksanaan sekatan tersebut sehingga suatu keputusan muktamad oleh CAS dibuat,” ujar kenyataan CAS.

Malaysia bakal mengharungi aksi terakhir Kumpulan F menentang Vietnam dalam misi untuk ke pentas Piala Asia 2027 di Arab Saudi.