Kelab Liga 1 Korea Selatan, Suwon FC membuat persiapan pasukan dan menikmati kempen pra-musim di bumi Indonesia.
Perlawanan persahabatan antarabangsa pada semalam telah melibatkan pertembungan antara pasukan dari Indonesia iaitu Dewa United dan kelab dari Korea Selatan, Suwon FC.
Aksi tersebut telah diadakan di pusat latihan pasukan Dewa United iaitu Dewa United Arena.
Dewa United yang diwakili beberapa bintang ternama Indonesia seperti Egy Maulana Vikri dan Ricky Kambuaya tampil memberikan aksi sengit berdepan jaguh dari Korea itu.
Skuad kendalian Jan Olde Riekerink sekadar tewas tipis, 2-1 kepada Suwon FC.
Sebelum beraksi menentang Dewa United, Suwon turut menghadapi dua siri perlawanan persahabatan bertemu kelab dari Indonesia, Bhayangkara dan Skuad B-20 Indonesia.
Menurut laporan daripada beberapa media bolasepak Indonesia, biarpun baru menandatangani bintang baru Indonesia iaitu Pratama Arhan, pengendali Suwon, Kim Eun Jung bagaimanapun tidak menurunkan bek kanan itu dalam ketiga-tiga aksi persahabatan.
Difahamkan Arhan diberikan pelepasan dari kelab untuk berehat kerana beliau baru sahaja pulang dari panggilan kebangsaan Indonesia di pentas Piala Asia 2023 baru-baru ini.
Aksi menentang Dewa United pada semalam merupakan perlawanan terakhir buat Suwon dalam kempen pra-musim. Suwon dijadual terbang pulang ke Korea Selatan pada hari ini, 17 Februari 2024.