Pemain yang dikaitkan ke Johor Darul Ta’zim (JDT), Jalil Elías mengalami kecederaan parah apabila beliau dikejarkan ke hospital dalam satu aksi buat pasukannya.
Perancang tengah San Lorenzo, Jalil Elías telah dikaitkan ke JDT selepas wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam menyatakan bahawa pemain berdarah Syria-Argentina itu bakal menyertai JDT sebagai ejen bebas.
Khabar angin perpindahan ini turut dikuatkan oleh satu ciapan seorang wartawan sukan Argentina bernama Cesar Luis Merlo di X baru-baru ini.
Beliau bagaimanapun memberi khabar duka selepas dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan parah.
Keadaan itu berlaku kira-kira 30 minit separuh masa pertama tatkala pemain lawan, Rodrigo Garro cuba untuk mengawal bola dan secara tidak sengaja, memukul pemain berusia 27 tahun itu menggunakan siku dan singgah tepat di mukanya.
Setelah beberapa minit dirawat oleh doktor, pemain tengah berbisa itu tidak dapat meneruskan aksinya untuk dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan.
Beliau terpaksa dibawa keluar menggunakan pengusung, menghadap ke bawah, terus ke klinik berhampiran kerana jumlah darah yang begitu banyak keluar dari hidungnya.
Sejak menyertai San Lorenzo pada 2021, Elias sudah merekodkan 108 penampilan mengikut data Transfermarkt. Sepanjang tempoh itu, beliau menjaringkan empat gol dan mencipta tiga bantuan gol.