Perkembangan terbaru pemain import pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menjadi tumpuan dalam saingan Liga Super musim 2023.
Seperti yang sedia maklum, pasukan bimbingan Tano Solari kehilangan tiga orang tunjang utama iaitu Fernando Forestieri, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo.
Ketiadaan tiga watak penting ini bagaimanapun diisi dengan begitu pantas oleh pasukan yang membawa masuk penyerang berbisa Liga Thailand, Heberty Fernandes dan juga Takahiro Kunimoto dari Jepun.
Heberty menunjukkan kualiti yang dimilikinya seawal aksi berdepan Selangor apabila menjaringkan gol pertamanya di Malaysia.
Kunimoto pula masih belum membuat sebarang penampilan namun ketika ini, Diogo kembali menceriakan kem JDT.
Pemain berusia 36 tahun ini dikesan sudah pun kembali menjalani latihan kecergasan namun dijangkakan masih dalam proses pemulihan.
Menerusi satu klip oleh Johor Southern Tigers, pemain ini dilihat sedang berlatih di pusat gimnasium pasukan.
Diogo merupakan watak penting buat JDT musim ini ketika menampung ketiadaan Bergson sebelum ini yang juga cedera selain memiliki profil berbeza sebagai penyerang pasukan.
Kudrat beliau sudah pasti ditagih untuk menajamkan lagi jentera serangan pasukan yang sudah meledak 79 gol dalam 20 aksi liga musim ini.