Bekas penyerang import Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Diogo Luis Santo mengakui wujud perbezaan antara Liga Malaysia (Liga M) dengan saingan liga Thailand.
Sebelum ini, timbul perdebatan dalam kalangan penyokong bola sepak negara berkenaan kedudukan terkini Liga Super mengikut laman sesawang TeamForm.com.
Mengikut maklumat laman sesawang tersebut, Liga Super berada di kedudukan ke-39 berbanding Thai League 1 (kedudukan ke-17) dan Thai League 2 (kedudukan ke-31).
Lantas, bila diminta mengulas hal ini oleh ThinkCurve, beliau melihat jurang perbezaan antara kedua-dua liga ini ada benarnya.
Ini kerana jurang perbezaan ini bukan saja membabitkan tahap kekuatan pasukan yang bersaing dalam liga.
Malah, Diogo turut menyentuh kemudahan yang dimiliki di Thailand mengatasi apa yang dimiliki kelab-kelab Liga M termasuk dari segi padang.
“Anda bercakap tentang perbezaan antara liga. Saya rasa liga Thai lebih kuat daripada Liga Super Malaysia kerana liga itu mungkin mempunyai dua pasukan yang bagus tetapi kedua-dua pasukan itu tidak sama tahap dengan Johor.
“Jika pasukan seperti Johor, ia berada pada tahap yang berbeza. Pasukan lain mungkin berada di sekitar tahap ini. Ini satu perbezaan yang sangat besar.”
“Keadaan stadium adalah perkara lain. Johor mempunyai stadium sendiri yang hebat. Tetapi kadangkala bermain di tempat lawan, di luar gelanggang sendiri.
“Anda mahu bermain bola sepak sebenar tetapi tidak dapat melakukannya kerana keadaan padang tidak baik.
“Semasa saya bermain untuk Johor, kami (Diogo dan pemilik JDT, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor) banyak bercakap tentang perkara ini.
“Sekurang-kurangnya mereka harus mempunyai stadium yang bagus dan membiarkan pemain bola sepak bermain.
“Sekarang ini hanya ada Johor dan Terengganu, dua pasukan yang mempunyai stadium yang bagus. Ini kelemahan Liga Super Malaysia.
“Kalau bercakap tentang stadium di Thailand, mungkin ada dua, tiga stadium yang tidak berapa bagus. Tetapi anda masih boleh bermain. Tetapi dalam liga Malaysia, di sesetengah stadium amat mustahil untuk bermain bola sepak,” katanya panjang lebar.
Diogo mengumumkan persaraan dari dunia bola sepak selepas tamat kempen Liga Super musim 2023 pada Disember lalu.
Tahun terakhirnya bersama JDT menyaksikan beliau meraih empat kejuaraan termasuk gelaran juara Liga Super musim berkenaan.
Selain JDT, Diogo juga pernah beraksi untuk Clube Pequeninos do Jockey, Portuguesa, Olympiacos, Flamengo, Santos, Palmeiras, Buriram United dan BG Pathum United.