Penyerang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Diogo Luis Santo mengejutkan ramai penyokong Harimau Selatan dengan mengumumkan persaraan dari dunia bola sepak.
Pengumuman mengejut itu dibuat menerusi satu hantaran di akaun Instagram peribadinya hari ini.
Diogo, 36, menyifatkan masa ini sebagai masa paling tepat untuk berundur meskipun mengakui keputusan ini amat berat untuk dilakukan.
Bekas penyerang BG Pathum United itu pada masa sama mengakui kariernya sebagai satu pengembaraan yang indah dan akan diingatinya sampai bila-bila.
“Saya mengambil sedikit masa untuk memikirkan bagaimana untuk menyatakan apa yang saya rasakan pada masa itu, terutamanya kerana saya tidak pasti bagaimana memasukkan begitu banyak emosi yang berbeza ke dalam teks, atau lebih tepatnya bagaimana mencari kata-kata yang tepat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak.
“Hasrat, dedikasi, adrenalin, kerja berpasukan dan keseronokan dalam mengamalkan sukan ini telah menjadi motivasi saya sejak zaman kanak-kanak saya.
“Saya menjalani perjalanan yang paling indah dan memberi inspirasi walaupun terdapat kekecewaan dan kekecewaan yang tidak dijangka. (Ia ibarat) roller coaster yang diperbuat daripada banyak kemenangan tetapi juga banyak kejatuhan,” katanya panjang lebar.
Diogo kemudiannya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pemain, jurulatih, staf pasukan dan kelab yang pernah diwakili sepanjang karier bola sepaknya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan penyokong yang terus setia menyokongnya baik pada saat yang baik mahupun buruk.
“Kepada pemain yang saya telah mendapat penghormatan untuk bekerja dengan, kedua-dua sebagai rakan sepasukan dan saingan, terima kasih banyak.
“Kepada pasukan yang saya sertai, Clube Pequeninos do Jockey, Portuguesa, Olympiacos, Flamengo, Santos, Palmeiras, Buriram United, BG Pathum United dan JDT, terima kasih kerana menerima saya dan mempercayai saya. Setiap pasukan yang saya mainkan mempunyai bahagian hati saya.
“Kepada peminat dan pengikut saya, saya mengatakan bahawa tanpa anda semua ini tidak mungkin berlaku. Terima kasih atas tenaga, semangat dan dedikasi anda.
“Akhirnya terima kasih khas kepada keluarga saya. Cinta dan kesabaran anda telah membolehkan saya menjalani impian saya dengan cara yang paling indah. Terima kasih kerana sentiasa berada di sisi saya, dalam masa yang baik dan buruk!
“Terima kasih, bola sepak! Saya mengucapkan selamat tinggal hari ini sebagai pemain, tetapi saya yakin bahawa anda akan sentiasa hadir dalam hidup saya!” tambahnya.
Mengikut data Transfermarkt, Diogo telah merekodkan 408 penampilan, 203 gol dan 87 bantuan gol.
Ini termasuk musim 2023 yang menyaksikan beliau menjaringkan tujuh gol dan lima bantuan gol dalam 13 aksi saingan Liga Malaysia (Liga M).
Diogo membuat penampilan terakhir bersama Harimau Selatan dalam aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC pada 3 Disember lalu. Beliau tampil sebagai pemain gantian dan beraksi selama 25 minit.
Bekas penyerang Buriram United itu menjulang pelbagai trofi dalam kariernya seperti Super League Greece 1 (SLG1), Copa Libertadores, Thai League 1, Liga Super dan Piala Malaysia.