Kapten Harimau Malaya, Dion Cools memiliki pandangan tersendiri selepas melihat jersi baharu pasukan itu yang dilancarkan baru-baru ini.
Jersi baharu Harimau Malaya yang dihasilkan Puma dilancarkan di Puma Flagship Store, Sunway Pyramid Mall.
Jersi ini merupakan permulaan kerjasama selama empat tahun antara jenama pakaian sukan terkenal dari Jerman itu dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sebaik jersi tersebut dilancarkan, jersi baharu skuad negara itu mendapat pelbagai reaksi terutama penyokong di media sosial.
Apabila diminta mengulas tentang jersi baharu Harimau Malaya, beliau melihat jersi itu kelihatan bagus kerana ia melambangkan Malaysia.
“Secara peribadi, saya mungkin mempunyai beberapa jersi yang lebih baik lagi,” katanya secara berseloroh kepada wartawan sukan Singapura, Ashikin Hashim.
“Tetapi secara keseluruhan, saya fikir ia tak boleh diubah dan kita kena terima. Ia hitam dan putih serta mewakili Malaysia. Tapi saya fikir semua orang mengharapkan sesuatu yang sedikit berbeza.”
Cools ditemui selepas tamat aksi terbaru Kumpulan B Shopee Cup antara Lion City Sailors dan Buriram United di Stadium Jalan Besar semalam.
Thunder Castle meraih satu mata berharga apabila mengikat tuan rumah tanpa jaringan. Kejayaan ini dicapai meskipun perlu beraksi dengan 10 pemain selepas Kenny Dougall diarah keluar padang.