Pertahanan Buriram United, Dion Cools mensasarkan untuk meraih tiga mata pada aksi Asian Champions League Elite (ACLE) bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijadualkan esok (3 Disember).
Cools yang juga kapten skuad kebangsaan Malaysia meluahkan keyakinan dengan kekuatan yang ada di dalam skuad Buriram bagi menyaingi pemain-pemain JDT.
“Saya rasa sebagai pasukan, kami hanya mahu memenangi perlawanan esok (bertemu JDT). Kita tahu ianya perlawanan yang besar buat pemain. Tapi kita bermain hanya untuk tiga mata.
“Sudah pasti sesiapa yang memenangi perlawanan ini kamu boleh melabelkannya sebagai ‘Raja Asia Tenggara’ tapi yang paling penting adalah tiga mata untuk berada dalam kedudukan yang baik ke peringkat seterusnya,” jelas Dion Cools dalam sidang media pra perlawanan yang disiarkan di Astro Arena.
Dion Cools dan jurulatih Buriram United Luis Vieira dalam masa yang sama menghormati JDT yang dibarisi pemain-pemain yang berkualiti di segenap posisi.
Buriram United kini berada di kedudukan ke-9 ACLE dengan mengumpul 7 mata selepas 5 perlawanan. JDT yang berada di kedudukan ke-5 turut mengumpul mata yang sama dan hanya dibezakan dengan jumlah jaringan.