Masa depan bintang sensasi Harimau Malaya, Dion Cools bersama kelab Liga Czech, FK Jablonec terjawab apabila beliau difahamkan akan kekal lebih lama di Eropah.
Beliau menjadi watak penting buat Harimau Malaya ketika ini apabila beraksi dengan cukup cemerlang membawa cabaran negara di Thailand dalam kejohanan King’s Cup.
Spekulasi tentang masa depan bekas bintang muda Belgium ini berlegar selepas beliau dikatakan bakal pulang ke Malaysia dan beraksi di sini berbanding kekal di Eropah.
FK Jablonec dikhabarkan hanyalah destinasi sementara Cools namun pemain berusia 26 tahun ini ternyata mempunyai sebab tersendiri untuk terus beraksi di Eropah setelah meninggalkan FC Midtjylland.
Menurut kemaskini yang dimuat naik oleh Football Transfer, pemain kelahiran Kuching, Sarawak itu telah mengikat kontrak selama semusim bersama bekas juara dua kali liga Czech tersebut.
Malah, menurut satu kenyataan oleh penganalisis bebas sukan, Gary Lugard, beliau mahu melihat Cools berkelana di Eropah lebih lama bagi mengembangkan lagi kariernya.
Kontrak Cools bersama kelab Fortuna Liga itu berakhir pada 30 Jun 2023 sungguhpun terdapat khabar yang menyatakan beliau bakal pulang ke Malaysia awal tahun depan.
Prestasi memberangsangkan dan juga pengalaman Cools sudah tentu ditagih oleh mana-mana pasukan selain kebolehan beliau untuk beraksi pada pelbagai posisi mampu memberi nilai tambah kepada pasukan yang diwakilinya.