Advertising
Dion Cools: Kita Mahu Bergerak Sebagai Satu Negara
MakanBola
FA Malaysia
Sponsors

Kapten Harimau Malaya, Dion Cools menyambut baik kehadiran tujuh bintang warisan baru yang bakal memperkuatkan pasukan itu menjelang pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027.

Sebelum ini, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor memaklumkan tujuh pemain warisan telah dikenal pasti untuk memperkuat pasukan itu.

Ad

Tujuh pemain tersebut berasal dari selatan Eropah dan beraksi di liga-liga utama benua berkenaan. Antara posisi yang bakal diisi mereka ialah bek kiri, bek tengah, penyerang, tengah dan sayap.

Ad

Cools melihat kehadiran mereka bukan satu isu selagi mana pemain-pemain baru ini sedia berjuang dan berkorban atas nama Malaysia.

“Sejujurnya, saya sebagai pemain hanya mahukan skuad terbaik yang ada. Tidak kira sama ada pemain lama, pemain baru, saya mahu semua orang saling memahami bahawa kita mahu bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan dan satu negara,” katanya kepada wartawan sukan Singapura, Ashikin Hashim.

Ad

“Jadi, saya rasa itu perkara yang paling penting. (Kita) membawa masuk pemain yang sanggup berjuang dan mati demi negara.

Ad

“Jika mereka pemain baru, mereka sentiasa dialu-alukan untuk datang selagi mana kita semua berada di barisan yang sama.”

Ad

Sentimen Cools dilihat hampir sama dengan apa yang dinyatakan pengendali baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski baru-baru ini.

Jurulatih berusia 46 tahun itu memaklumkan selagi mana pemain yang dipanggil sanggup beraksi sepenuh hati demi Malaysia, maka itu sudah cukup untuk beliau.

“Semua pemain akan ada peluang untuk bersama skuad kebangsaan, tidak kira sebagus mana anda atau usia anda, tetapi jika anda boleh buktikan keupayaan, anda akan berhak (dipanggil).

“Saya mahu sesiapa sahaja yang dipanggil mampu untuk memberikan seluruh hati mereka bagi memastikan penyokong gembira dengan apa yang akan mereka saksikan (dalam padang),” ujarnya.

Khidmat Cools dijangka ditagih Cklamovski untuk aksi pertama Kumpulan F menentang Nepal pada 25 Mac ini.