Dion Cools Terlalu Bersahaja, Cemerlang Dalam Aksi Debut

dion cools 19 Dion Cools Terlalu Bersahaja, Cemerlang Dalam Aksi Debut
Foto: Buriram United
Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram MakanBola.

Pemain kacukan Malaysia/Belgium, Dion Johan Cools menampilkan aksi memukau dalam penampilan pertamanya bersama pasukan baharu, Buriram United.

Buriram United telah dijadual bertemu pasukan Kelantan dalam perlawanan Asean Charity Shield. Aksi yang berlangsung di Stadium Songkhla itu menyaksikan Buriram United berjaya menewaskan Kelantan dengan keputusan 7-0. 

Mendapat kepercayaan pengendali Buriram United, Dion Cools telah diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan dan beraksi di posisi pertahanan kanan. Bekas bintang FC Midtjylland ini dilihat cukup bersahaja dan tidak berdepan cabaran sukar untuk membina keserasian bersama rakan sepasukan. 

Selain cemerlang mengawal kubu pertahanan Buriram daripada dibolosi, Cools juga menjadi watak penting pasukan ketika di transisi menyerang. Beliau beberapa kali berjaya naik ke atas dan membantu bahagian serangan pasukan.

Pemain berusia 26 tahun itu melengkapkan malam gemilang Buriram United dengan mencatat satu assist buat pasukan. Pada minit ke-89 permainan, sepakan sudut yang diambil Cools berjaya disempurnakan Narubadin dengan satu tandukan cantik sekaligus memastikan kemenangan bergaya Buriram United tercatat.

Satu permulaan yang cukup indah buat Dion Cools apabila memulakan kempen 2023 dengan satu piala sudah berjaya dirangkul bersama Buriram United.