Advertising
“Doakan Haziq Nadzli Lumpuh, Libatkan Anak-Anak Melampau” – Eyra Hazali
MakanBola
FAM/Eyra Hazali

Isteri kepada Haziq Nadzli iaitu Eyra Hazali membalas kritikan melampau para peminat terhadap penjaga gol Malaysia itu.

Haziq Nadzli diberi tugas penting untuk mengemudi benteng terakhir Malaysia dalam aksi ketiga peringkat kumpulan Piala Mitsubishi Electric Asean bertemu Thailand di Bangkok pada Sabtu.

Pada aksi tersebut, Harimau Malaya terpaksa akur tewas 1-0 di tangan juara bertahan itu dengan gol tunggal perlawanan dihasilkan oleh pemain kelahiran Sweden, Patrik Gustavsson pada minit ke-57.

Ad

Jaringan tersebut berlaku akibat kesilapan Haziq yang gagal mengeluarkan bola dengan baik menyebabkan bola itu jatuh tepat ke arah kaki pemain Thailand, Suphanat Muenta yang memberi tekanan.

Ad

Suphanat dengan begitu tenang mengawal bola itu sebelum dihantar kepada rakan sepasukan, Patrik Gustavsson untuk disudahkan sekaligus memastikan tiga mata menjadi milik Thailand.

Susulan kesilapan itu, Haziq telah dikecam hebat oleh warga maya yang begitu kecewa sehingga sanggup mencaci-maki penjaga gawang Perak itu bahkan melibatkan ahli keluarga pemain itu.

Ad

Menurut Eyra, kata-kata melampau hingga mendoakan Haziq Nadzli lumpuh dan melibatkan anak-anak mereka merupakan hinaan yang tidak boleh diterima dan cukup melampau.

”Caci makian yang anda lemparkan, kami boleh terima tapi hinaan (sehingga) mendoakan suami saya (Haziq Nadzli) lumpuh, melibatkan anak-anak kami adalah melampau,” tulis Eyra melalui catatan instastory.

Eyra turut sempat mendoakan kebaikan kepada para pelaku tersebut dan bakal terus memberikan sokongan buat suami beliau yang ketika ini masih berjuang bersama skuad negara.

“Saya berdoa agar doa-doa itu tidak berbalik kepada anda serta keluarga dan Haziq akan sentiasa mendapat sokongan kami,” tambah pelakon itu lagi.

Instastory Eyra Hazali "Doakan Haziq Nadzli Lumpuh, Libatkan Anak-Anak Melampau" - Eyra Hazali
Instastory: eyra.hazali

Walaupun skuad negara tumbang, peluang untuk mara ke separuh akhir masih ada dengan harapan Singapura gagal meraih mata penuh dalam 2 aksi terakhir bertemu Thailand dan Malaysia.