Legenda bola sepak Malaysia, Dollah Salleh sah dipilih sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Ini selepas keputusan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM 2025-2029 untuk jawatan Naib Presiden FAM diumumkan.
Dollah yang pernah menggalas peranan sebagai pengendali Harimau Malaya terpilih selepas menerima 16 undian. Ini menjadikan beliau calon yang menerima undian ketiga tertinggi.
Datuk Seri Haji Rosmadi Ismail dan Dato’ Mohd Azhar Jamaluddin turut terpilih sebagai Naib Presiden FAM. Ini selepas kedua-duanya masing-masing menerima 17 undian.
N. Saaran menerima undian keempat tertinggi dengan 13 undian. Seorang lagi pencabar iaitu Syed Yazid Syed Omar hanya menerima sembilan undi.
Ini menjadikan Rosmadi, Azhar, Dollah dan Saaran sebagai Naib Presiden FAM yang baharu.
Pemilihan Dollah cukup dinantikan peminat bola sepak negara. Ini kerana ini menjadikan beliau bekas pemain pertama menggalas peranan sebagai Naib Presiden FAM.
Selepas membina namanya sebagai pemain hebat pada tahun 80-an dan 90-an, nama Dollah turut dikenali sebagai jurulatih berkaliber.
Selain Harimau Malaya, beliau pernah membimbing Selangor FC, MPPJ Selangor, Sri Pahang FC, PDRM FC dan Perlis.
Dollah pernah menjulang gelaran juara Piala Malaysia, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Sumbangsih dalam karier kejurulatihannya.