Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Dollah Salleh mengakui kemenangan pasukan itu ke atas DPMM FC cukup bermakna.
Dollah berpandangan sebegitu kerana kemenangan itu menutup episod duka KL City selepas berdepan pelbagai kemelut termasuk sekatan perpindahan dan tidak memiliki pemain mencukupi.
Legenda bola sepak negara itu melihat kemenangan ini sebagai langkah pertama kebangkitan KL City menghadapi musim 2026/27.
“Sebelum ni nampak murung sedikit. Saya pun tak mahu melihatnya (isu) sebelum ini. Tetapi, hari ini (malam tadi) agak berbeza. Ia, terasa seperti menjuarai piala!
“Saya tak pernah meraikannya seperti ini. Saya nampak pasukan ini masih jauh. Persiapan agak huru-hara,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Meskipun beraksi dengan 10 pemain, KL City meraih kemenangan 1-0 menerusi penyerang kebangsaan, Paulo Josue pada minit akhir perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan KL City kini di tangga ketujuh di belakang DPMM selepas tiga perlawanan.