Kebangkitan yang dicari Kuala Lumpur City FC (KL City FC) akhirnya muncul apabila menewaskan DPMM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
KL City berharap dapat menjadikan aksi ini sebagai medan kebangkitan selepas tewas 6-0 di tangan Kuching City FC. DPMM pula mahu menambah kemenangan selepas menewaskan Penang FC 1-0.
Dua penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad dan Paulo Josue menjadi taruhan Datuk Dollah Salleh untuk merobek gawang DPMM. DPMM pula mempertaruhkan gandingan Danial Asri dan Oscar Santis untuk menggugat benteng KL City.
Separuh masa pertama menyaksikan KL City berdepan kesukaran memecahkan formasi 4-1-4-1 yang digunakan DPMM. Setiap serangan yang cuba direncana berjaya digagalkan barisan pemain pelawat.
Danial Asri hampir memecah kebuntuan pada minit ke-33. Malangnya, percubaan bekas pemain Kuching City itu disekat penjaga gol tuan rumah, Ameerul Eqhwan Mohd Fauzi.
Ebenezer Aban hampir meletakkan DPMM di hadapan pada minit akhir babak pertama tetapi bola berjaya dikeluarkan pertahanan KL City. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Dollah memilih memasukkan bekas pemain Sabah FC, S. Kumaahran menggantikan Syafiq.
Kemasukan Kumaahran menyaksikan Josue hampir menceriakan penyokong KL City pada minit ke-50. Percubaan penyerang berusia 37 tahun itu pantas disekat Haimie Abdullah Nyaring.
Kesukaran DPMM menembusi gawang KL City mendorong pasukan itu memasukkan Dalberto Belo Luan, Hakeme Yazid Said dan Jordan Murray untuk merobek gawang tuan rumah.
Kemasukan trio tersebut masih gagal membantu DPMM mencari gol. KL City kemudiannya beraksi dengan 10 pemain apabila Gary Steven dilayangkan kad merah oleh pengadil, Nazmi Nasaruddin.
Sebaliknya, KL City meraih gol kemenangan menerusi Josue pada minit akhir permainan. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Selepas ini, DPMM akan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 4 September. KL City pula akan melayan kunjungan Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) pada hari yang sama.