Dollah Salleh Sah Kemudi KL City
MakanBola
FA Malaysia

Legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh sah kembali mewarnai Liga Super sebagai jurulatih baharu Kuala Lumpur City FC (KL City FC).

Pelantikan beliau disahkan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar apabila ditanya tentang persiapan pasukan itu untuk musim 2026/27.

Syed Yazid memaklumkan Dollah akan dibantu Ishak Kunju Mohamad dan Wan Mustaffa Wan Ismail sebagai penolong jurulatih. Bekas penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz pula memikul tugas sebagai jurulatih penjaga gol.

“Jurulatih (baharu KL City) ialah Dollah Salleh. Beliau dibantu penolong jurulatih dan bekas pemain, Ishak Kunju dan Wan Mustaffa.

“Dan jurulatih penjaga gol bekas pemain Kuala Lumpur juga iaitu Azmin Azram. Bagi pemain, 70% kita kekalkan. Pada masa sama, Dollah akan bawa beberapa pemain.

“Sudah tentu beberapa pemain yang pernah bersama beliau akan bersama Kuala Lumpur City,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.

Kenyataan Syed Yazid bukan saja mengesahkan spekulasi tentang kepulangan Dollah dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sebagai jurulatih. Malah, ini turut menamatkan teka-teki tentang siapa pengendali baharu pasukan Lembah Klang itu.

Sebelum memikul tugas sebagai jurulatih KL City, Dollah pernah memikul tugas sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2025.

Syed Yazid turut mengesahkan empat tonggak KL City iaitu Paulo Josue, Giancarlo Gallifuoco, Kamal Azizi Mohamad Zabri dan Zhafri Yahya kekal bersama pasukan itu untuk mengharungi musim 2026/27.