Dominic Szoboszlai Tambah Sengat Jentera Tengah Liverpool

Szoboszlai Dominic Szoboszlai Tambah Sengat Jentera Tengah Liverpool
Getty Images
Hakim Johari @HakimJohari4
1:58pm 02/07/2023

Liverpool kini telah memuktamadkan perpindahan seorang lagi pemain tengah yang sedang meningkat naik, Dominic Szoboszlai dari RB Leipzig. Kepincangan Liverpool di bahagian tengah musim lalu jelas menjadi penanda aras buat Jurgen Klopp untuk memperkuatkan lagi barisan tengah The Reds.

Hadir dengan tag harga €70 juta dan tawaran kontrak 5 tahun bersama Liverpool, Szoboszlai merupakan pemain kebangsaan Hungary dan amat dominan di posisi tengah menyerang.

Baru berusia 22 tahun, Szoboszlai menjadi antara pemain penting RB Leipzig musim lalu apabila merekodkan sejumlah 10 gol dan 13 bantuan jaringan dalam 46 penampilan bersama RB Leipzig.

Ketika bersama Leipzig, Szoboszlai juga kerap bermain sebagai pemain sayap kanan dan kiri selain posisi tengah dalam dua musim terakhir beliau.

Szoboszlai berada dalam kedudukan keempat pemain paling banyak terlibat dalam situasi menyerang Bundesliga selain Joshua Kimmich (1), Jamal Musiala (2) dan Jude Bellingham (3) menurut data daripada Opta Analyst.

Szoboszlai merekodkan sejumlah 163 situasi menyerang pada musim 2022/23 dalam permainan terbuka dimana 49 percubaan ke arah gol dilakukan, 48 peluang gol dicipta dan 66 binaan menghasilkan gol.

Selain itu, kemampuan Szoboszlai untuk melakukan percubaan jarak jauh juga menambahkan lagi kualiti beliau selaku pemain tengah bersifat ofensif. Hanya Leroy Sane mempunyai lebih banyak percubaan dari luar kotak penalti musim lalu (37 percubaan) berbanding dengan Szoboszlai (36).

Musim lalu Liverpool dihantui dengan kecederaan pemain tengah seperti Thiago dan Arthur Melo sehingga menjejaskan rentak permainan Liverpool.

Kehadiran Mac Allister dan Dominc Szoboszlai mampu memperbaiki kawasan tengah Liverpool dalam menghubungkan jentera serangan mereka melalui corak permainan kreatif 2 pemain ini.