DPMM FC bakal menyertai President’s Cup 2026 sebagai medan pramusim sebelum saingan Liga Super musim 2026/27 bermula.
Penyertaan DPMM dalam kejohanan anjuran Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) itu disahkan pengurusan pasukan itu menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi baru-baru ini.
“DPMM FC telah dijemput untuk menyertai President’s Cup 2026 di Indonesia. Kejohanan akan bermula pada 21 Julai ini.
“Kelab-kelab utama Indonesia juga akan menyertai kejohanan ini dan PSSI (Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia) telah menjemput DPMM FC dari Brunei untuk menyertai kejohanan ini,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Penyertaan DPMM dalam kejohanan ini dilihat menyerlahkan aspirasi pasukan itu untuk tampil lebih cemerlang dalam liga musim depan.
Edisi 2025 menyaksikan dua pasukan luar negara dijemput untuk saingan President’s Cup iaitu Oxford United (England) dan Port FC (Thailand). Port muncul juara dengan menewaskan Oxford 2-1 di pentas final.
DPMM juga dilaporkan sibuk mencari pemain-pemain baharu untuk menambah kualiti pasukan. Antara pemain yang berada dalam radar pasukan itu ialah Fergus Tierney, Safawi Rasid, Muhammad Toha, Ryan dan Declan Lambert.