DPMM Lepaskan 3 Pemain, Termasuk Ramadhan Sananta
MakanBola
DPMM FC

DPMM FC mengumumkan tiga pemain termasuk penyerang Indonesia, Ramadhan Sananta tidak akan bersama pasukan itu pada musim hadapan.

Perkara ini dinyatakan pengurusan DPMM menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi pasukan itu.

“DPMM FC telah melepaskan Ramadhan Sananta dan bakal melepaskan penjaga gol Brazil, Michel Americo dan Najib Tarif. Lebih ramai pemain yang dilepaskan akan menyusul,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Ramadhan telah membuat 27 penampilan bersama DPMM dan menjaringkan empat gol. Ini termasuk dua gol dalam Liga Super.

Meskipun memilih melepaskan bekas penyerang Persis Solo itu, DPMM memaklumkan mereka akan terus memantau perkembangan Ramadhan.

Malah, kelab tidak menolak untuk merekrut beliau semula pada masa akan datang jika Ramadhan terus menunjukkan kemajuan sebagai penyerang.

DPMM turut melepaskan legenda kelab, Najib yang menyertai pasukan berkenaan pada 2012. Beliau merekodkan 186 penampilan termasuk satu penampilan dalam Liga Super.

Kelab turut memilih mengekalkan tiga pemain iaitu Amani Aguinaldo, Miguel Oliveira dan Tommy Mawat Bada selama semusim lagi. Ini selepas DPMM berpuas hati dengan prestasi trio berkenaan musim ini.

DPMM dilihat tampak serius untuk tampil lebih cemerlang musim hadapan. Kelab itu mula mensasarkan beberapa pemain berkaliber termasuk pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid.