Kedengaran aneh namun DR Congo berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) hanya dengan satu kemenangan sepanjang saingan tersebut.
DR Congo tidak pernah memenangi sebarang perlawanan dalam peringkat kumpulan malah kemenangan asli yang pertama hadir dalam aksi suku akhir Piala AFCON.
DR Congo mencatatkan tiga keputusan seri dalam saingan kumpulan F bertemu Maghribi (1-1), Tanzania (0-0) dan juga Zambia (1-1) malah pasukan itu layak setelah menamatkan peringkat kumpulan ditangga kedua dengan mengumpul 3 mata.
Pasukan kendalian Sebastien Desabre ini juga menamatkan aksi 90 minit bertemu Mesir di pusingan 16 dengan keputusan seri tanpa jaringan namun mereka berjaya menewaskan Mesir menerusi penentuan sepakan penalti (8-7).
Kemenangan pertama mereka hadir dalam aksi suku akhir bertemu Guinea apabila DR Congo berjaya menewaskan pasukan tersebut dengan jaringan 3-1.
Ujian getir bakal menanti DR Congo untuk aksi separuh akhir kelak apabila bakal berdepan tuan rumah, Ivory Coast pada Khamis ini.
DR Congo kini berada dikedudukan ke-67 dunia berdasarkan ranking FIFA namun mereka berpeluang memperbaiki kedudukan tersebut berdasarkan prestasi cemerlang dalam kejohanan Piala AFCON.