Doktor perubatan terkenal, Dr. Malar berkongsi pandangan beliau mengenai punca pemain badminton muda China yang menggelupur dan rebah ketika beraksi di gelanggang beberapa hari yang lalu.
Dua hari yang lalu, dunia badminton dikejutkan dengan pemergian pemain muda China, Zhang Zhi Jie yang rebah ketika sedang beraksi dalam kejohanan Badminton Asia Junior Championship di Yogyakarta, Indonesia.
Zhang Zhi Jie yang turun menentang Kazuma Kawano dari Jepun secara tiba-tiba telah rebah dan diserang sawan menyebabkan orang ramai tergamam dan pihak perubatan mula memberikan bantuan sebelum membawanya ke hospital.
Meskipun menerima rawatan lanjutan di hospital, namun Zhi Jie tidak dapat diselamatkan dan dikhabarkan meninggal dunia di hospital pada jam 11.20 malam waktu Indonesia (12.20 pagi waktu Malaysia).
Selaku doktor bertauliah, Dr. Malar yang gemar berkongsi ilmu mengenai perubatan kepada masyarakat umum di media sosial telah menyatakan pandangannya mengenai insiden yang menyayat hati ini
Menurut Dr. Malar, tubuh Zhi Jie yang menggelupur itu turut membuatkan detak jantung pemain itu berdegup sangat laju dan keadaan ini dinamakan sebagai Ventricular Fibrillation (VF) dalam bahasa saintifiknya.
”Nampak tak dia menggelepar itu? Kemungkinan waktu itu jantung dia juga ikut menggelepar (yang) kita panggil Ventricular Fibrillation (VF) atau Pulseless Ventricular Tachycardia (Pulseless VT),” jelas Dr. Malar.
”Sepatutnya jantung kita berdegup macam ini (sambil membuat gaya menggenggam dan melepas tangan) tetapi waktu dia menggelepar itu, kemungkinan besar jantung dia berdegup macam ini (sambil mengulang gaya yang sama dengan lebih laju).”
Tambahnya, pelbagai punca boleh menyebabkan situasi ini terjadi namun beliau merasakan perkara ini berlaku oleh kerana Hypokalemia, keadaan di mana badan seseorang yang bersukan mengalami peluh yang melampau.
“Puncanya boleh jadi macam-macam seperti Hypokalemia atau Hyperkalemia. Dalam keadaan ini ketika bermain badminton, Hypokalemia sangat mungkin berlaku akibat daripada peluh yang melampau,” ujarnya lagi.
”Selain daripada itu, kenapa boleh seseorang itu rebah (disebabkan oleh) faktor seperti badan terlampau sejuk (hypothermia), gula terlampau rendah (hypoglecemia) dan pelbagai punca yang lain.”
Berdasarkan pengalamannya dalam dunia perubatan, beliau berpandangan bahawa insiden melibatkan pemain yang bermain badminton ini adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan elektrolit yang sering berlaku.
”Pada pendapat dan pengalaman peribadi saya, untuk pemain badminton, paling kerap adalah disebabkan oleh garam galian yang tidak normal (electrolyte imbalance),” ujarnya mengikut pengalamannya sepanjang bergelar doktor.
Dr. Malar juga sempat menitipkan pesan buat orang ramai agar bersedia dengan tindak balas yang betul, tepat dan cepat untuk membantu menyelamatkan nyawa mangsa yang diserang penyakit ini ketika bersukan terutamanya.
“Namun walau apa pun puncanya, apa yang paling penting adalah tindak balas yang betul, tepat dan cepat,” pesan Dr. Malar buat orang ramai yang menonton videonya.
Tonton video penuh Dr. Malar: di sini.