Khabar mengejutkan berkenaan Liga Malaysia apabila difahamkan dua bekas juara Piala Malaysia bakal beraksi di Liga M3.
Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Hafizal Hamad berkenaan perkara yang menggemparkan arena bola sepak tanah air.
Beberapa kelab di Liga Malaysia difahamkan terpalit dengan isu yang menyebabkan perjalanan pasukan tidak lancar.
Hal ini menjejaskan persiapan pasukan menjelang saingan musim 2024/25 terutamanya dengan beberapa isu gaji yang melanda pasukan.
Sebelum ini, sebuah pasukan Liga Super 2023, Kelantan FC sah tidak akan beraksi dalam kancah utama bola sepak Malaysia.
“Kemungkinan dua pasukan yang juga bekas juara Piala Malaysia bakal ucap selamat datang M3,” ujarnya di laman X.
Menerusi beberapa perkhabaran terbaru Liga Malaysia, dua pasukan Liga Super 2023 iaitu KL City dan Kedah Darul Aman kini dalam fasa untuk menyelesaikan tunggakan gaji kakitangan pasukan musim lalu.
Namun begitu, setakat ini masih belum ada mana-mana pengumuman rasmi oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berkenaan jumlah pasukan yang akan beraksi di Liga Super musim 2024/25.