Negeri Sembilan FC bakal menampilkan tonggak import berbeza bagi mendepani cabaran Liga Malaysia (Liga M) musim 2024-2025.
Ini kerana skuad Rusa dilaporkan ingin mendapatkan pasangan kembar Indonesia, Bagus Kahfi Alfikri dan Bagas Kaffa Arrizqi.
Menurut wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran, Negeri Sembilan berhasrat mendapatkan kedua-dua pemain ini secara pinjaman dari kelab Liga 1 Indonesia, Barito Putera.
Sekiranya perpindahan ini berjaya direalisasikan, kehadiran mereka bakal memantapkan dua bahagian kritikal pasukan iaitu bahagian pertahanan dan serangan.
Ini kerana mengikut statistik Liga Super musim 2023, skuad Rusa hanya menjaringkan 30 gol dan dibolosi 49 kali. Selain itu, Negeri Sembilan hanya merekodkan empat rekod tanpa bolos dalam liga.
Walaupun baru berusia 21 tahun, Bagas memiliki pengalaman beraksi bersama skuad senior Barito Putera. Beliau sudah merekodkan 88 penampilan, tiga dan sembilan bantuan gol mengikut data Transfermarkt.
Sementara Bagus pula mampu mengisi posisi sayap kanan, sayap kiri dan penyerang. Tiba dari Asteras Tripoli pada tetingkap perpindahan pertama musim 2023-2024, beliau telah merekodkan 22 penampilan, satu gol dan tiga bantuan gol.
Sekiranya perpindahan pinjaman ini dapat direalisasikan, ini bukan saja dapat memperkuat Negeri Sembilan untuk musim 2024-2025.
Malah, perpindahan ini mampu membantu kemajuan kedua-dua pemain sekaligus meningkatkan peluang beraksi untuk skuad senior Indonesia.