Dua Kejohanan Besar Jadi Fokus Shukor Adan
MakanBola
FA Malaysia

Dua kejohanan besar bakal menjadi fokus jurulatih Malaysia B-16, Shukor Adan untuk tahun 2026.

Dua kejohanan tersebut ialah Kejuaraan ASEAN B-16 2026 dan pusingan kelayakan Piala Asia B-16 2027. Dua kejohanan ini masing-masing akan berlangsung pada April dan November ini.

Atas sebab itu, Shukor yang juga jurulatih skuad AMD B-16 fokus membentuk pasukan yang mampu bersaing di pentas antarabangsa nanti.

“Kita ada dua tugasan antarabangsa untuk tahun ini iaitu Kejuaraan ASEAN B-16 2026 pada April seterusnya perlawanan Kelayakan Piala Asia B-17 2027 pada November,” katanya.

Shukor turut menganggap tugas membimbing skuad B-16 negara sebagai satu penghormatan. Justeru, beliau berharap dapat membentuk generasi pemain baharu negara ke tahap seterusnya.

“Peluang untuk membimbing pasukan bawah 16 tahun negara adalah kepercayaan yang luar biasa. Program AMD ini adalah satu program yang elit untuk pembangunan bola sepak negara.

“Apa yang saya ada sepanjang karier bola sepak akan saya curahkan kepada pemain generasi baharu ini agar kita dapat melahirkan lebih ramai pemain sebenar dan lebih baik,” tambahnya.

Sebelum ini, skuad Malaysia B-16 terlepas peluang layak ke saingan Piala Asia B-16 2026. Ini selepas anak buah Javier Jorda Ribera menamatkan kempen kelayakan kumpulan di tempat kedua.

Kali terakhir skuad muda negara layak ke Piala Asia B-16 secara merit ialah edisi 2023. Pada ketika itu, skuad negara dibimbing Osmera Omaro.

Untuk rekod, skuad Malaysia B-16 mara ke Piala Asia B-16 sebanyak enam kali. Pencapaian terbaik skuad negara dalam kejohanan itu ialah peringkat suku akhir pada edisi 2014.

Selain kempen kelayakan Piala Asia B-16, skuad Malaysia B-16 berharap dapat tampil lebih baik di pentas ASEAN.

Ini kerana dua edisi terakhir Kejuaraan ASEAN B-16 menyaksikan skuad muda negara menamatkan kempen di peringkat kumpulan.

Shukor dibantu bekas pemain pertahanan kebangsaan, Lim Chan Yew dan Kuizwan Johari. Bekas penjaga gol Selangor, Farizal Harun pula memikul tugas sebagai jurulatih penjaga gol.