Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Shukor Adan sah dilantik sebagai jurulatih skuad Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 16 Tahun (B-16).
Pelantikan jurulatih berusia 46 tahun itu diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan hari ini.
Bekas kapten Selangor FC itu akan dibantu Lim Chan Yew dan Kuizwan Johari. Bekas penjaga gol Felda United, Farizal Harun memikul tugas sebagai jurulatih penjaga gol.
“Skuad AMD B-16 di bawah kendalian ketua jurulatih, Shukor Adan dengan dibantu penolong ketua jurulatih, Lim Chan Yew dan Kuizwan Johari serta jurulatih penjaga gol, Farizal Harun,” kata FAM dalam satu kenyataan.
Pelantikan Shukor merupakan sebahagian daripada pelantikan barisan kejurulatihan AMD yang diumumkan hari ini.
Ini tugasan pertama Shukor sebagai ketua jurulatih dalam karier kejurulatihannya. Sebelum ini, beliau memikul tugas sebagai pembantu Nafuzi Zain untuk skuad Malaysia B-23.
Shukor menjadi sebahagian daripada kontinjen negara yang meraih pingat gangsa Sukan SEA 2025 pada Disember lalu.
Semasa aktif sebagai pemain, Shukor antara pemain tengah terbaik negara pada ketika itu. Beliau pernah beraksi untuk Selangor FC, Negeri Sembilan FC, Melaka United, ATM, KL City FC dan Felda United.
Shukor mengecapi pelbagai trofi seperti Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia. Beliau juga pernah membantu Malaysia muncul juara Pestabola Merdeka 2007.